KUALA LUMPUR, 14 Okt — Malaysia akan terus menyokong pembangunan statistik dalam kalangan negara anggota ASEAN berpaksikan semangat kesamaan dan kerjasama seperti digariskan dalam Deklarasi ASEAN, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sokongan tersebut merangkumi perkongsian pengalaman dan kepakaran, bantuan teknikal, lawatan kajian dan latihan.

“Kerjasama sistematik dan pembelajaran dalam kalangan negara anggota akan membantu memperkukuh kapasiti ASEAN dari segi cadangan, kebolehlihatan dan hasil yang lebih baik kepada penduduk ASEAN,” katanya bersempena sesi kesembilan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS) di Bangkok mulai 9 hingga 11 Oktober.

Sementara itu, DoSM berkata sebagai antara negara utama dalam data raya, Malaysia dan Indonesia telah menyediakan nota konsep awal mengenai “Data Raya bagi Menambah Baik Statistik Rasmi.”

Menyedari beberapa cabaran yang dihadapi negara anggota untuk melaksanakan inisiatif data raya termasuk akses data, isu-isu perundangan, metodologi, kapasiti, teknologi, kos dan infrastruktur, nota konsep itu telah diluluskan sebagai satu daripada keutamaan tahunan ACSS pada 2020-2021.

“Ia akan diperincikan lagi dengan memberi tumpuan kepada keupayaan pembinaan kapasiti dan kesedaran dalam kalangan negara anggota ASEAN,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here