KUALA LUMPUR, 28 Okt — Pengeluar minyak sawit utama dunia, Indonesia dan Malaysia menyumbang 87 peratus daripada bekalan dunia – mewujudkan pasaran duopoli bagi minyak boleh dimakan paling serba guna itu.  

Indonesia mengeluarkan 33 juta tan metrik komoditi itu setahun, manakala Malaysia 19.5 juta tan metrik. Pengeluar lain adalah Thailand, Columbia dan Nigeria.

Minyak sawit menyumbang kira-kira satu perlima daripada pengeluaran minyak dan lemak dunia.

Ia juga merupakan minyak boleh dimakan dengan harga paling berpatutan, menjadikannya komoditi pilihan ramai, yang memberikan kelebihan kepada Malaysia dan juga Indonesia dalam industri tersebut.

Putrajaya dan Jakarta sebenarnya boleh berpakat sulit bagi harga dan pengeluaran, satu amalan yang diharamkan oleh Undang-Undang Anti Monopoli Amerika Syarikat, kata seorang veteran industri.

Amalan seperti itu boleh menyebabkan pengguna terpaksa membayar harga yang lebih tinggi daripada sepatutnya dalam pasaran yang benar-benar kompetitif.

Di sini, ia adalah pasaran bebas, di mana di bawah peraturan penglibatan dua pembekal, pengguna akan cuba mencari bahan mentah daripada kedua-dua pihak dan dengan melakukan ini, mereka boleh bersaing untuk membeli pada harga terbaik.

“Tetapi jika anda memilih untuk membeli daripada hanya satu pasaran, pertama sekali anda kehilangan kuasa tawar-menawar,’’ katanya sambil menambah pasaran tersebut juga terpaksa bergelut untuk membekalkan lebih banyak minyak sawit.  

“Dan dalam kes gesaan badan perdagangan India agar ahli-ahlinya tidak mengimport minyak sawit Malaysia dan sebaliknya membeli lebih banyak dari Indonesia, ia akan memerlukan Indonesia mengeksport 15,000 tan metrik tambahan minyak sawit setiap hari,” kata veteran itu yang enggan namanya disiarkan.

Persatuan Pengekstrak Pelarut India yang berpangkalan di Mumbai yang mewakili penghancur biji minyak, baru-baru ini menasihati ahli-ahlinya agar berhenti membeli minyak sawit dari Malaysia sebagai bantahan terhadap kritikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap New Delhi di atas tindakannya di Kashmir.

Perlu diingatkan bahawa kedua-dua Malaysia dan Indonesia melaksanakan sepenuhnya program biodiesel mereka masing-masing untuk menangani stok mereka.

Malaysia akan melaksanakan kandungan bio 20 peratus atau program biodiesel B20, yang dijangka meningkatkan permintaan domestik terhadap minyak sawit kepada 500,000 tan metrik setahun.

Indonesia juga akan melaksanakan program B30 pada awal Januari 2020 untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit domestiknya serta mengurangkan import tenaga.

Langkah itu akan meningkatkan jumlah output biodiesel negara itu kepada kira-kira lapan juta tahun depan.

Jakarta ketika ini mempunyai mandatori program B20 dan menyasar pelaksanaan B50 menjelang 2021.

Selagi penduduk dunia terus meningkat, permintaan terhadap minyak sawit akan sentiasa ada.

Veteran industri itu berkata akan sentiasa ada pasaran baharu untuk diteroka dan produk hiliran baharu dihasilkan, memandangkan inovasi serta penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan di negara ini.

Sementara itu, pakar strategi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Dr Rais Hussin, dalam suratnya kepada akhbar The Star berkata, kebanyakan minyak sawit Indonesia dimiliki dan dijual oleh syarikat-syarikat Malaysia.

Beliau membangkitkan persoalan yang jujur — sama ada India akan membeli minyak sawit dari Indonesia tanpa ekuiti dan perkongsian Malaysia.  

Setakat ini, gesaan untuk mengehadkan pembelian minyak sawit Malaysia hanya datang daripada pedagang, dan Putrajaya tidak menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu dari New Delhi.

Dan justeru itu, Malaysia tidak membawakan perkara tersebut kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Bagaimanapun, Malaysia mempunyai hak untuk mendapatkan ganti rugi undang-undang sekiranya India melanggar Perjanjian Kerjasama Komprehensif Malaysia-India (MICECA).

Hakikatnya, perang perdagangan tidak membawa sebarang faedah.

Pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat-China ketika kini adalah contoh jelas bagaimana ia menjejaskan rantaian nilai global.

Jawatankuasa Kongres Tamil Nadu (TNCC) menyuarakan kebimbangan pengurangan import minyak sawit dari Malaysia oleh India akan menjejaskan pekerja asing dari negeri selatan India itu yang ketika ini bekerja di Malaysia dan ini merupakan satu lagi contoh potensi implikasi.

“Sekurang-kurangnya 500,000 orang dari Tamil Nadu bekerja dalam sektor teknologi maklumat dan restoran di Malaysia.

“Mereka juga menghantar hampir 90 peratus daripada gaji mereka kepada keluarga mereka yang tinggal di India,” kata TNCC KS Alagiri.

Menurut Bank Dunia, India mendahului senarai penerima pengiriman wang yang berjumlah US$79 bilion (RM331 bilion) tahun lepas, terutamanya dari negara-negara Teluk.

Malaysia berada di kedudukan 20 teratas dengan purata pengiriman wang RM2 bilion setahun sejak tiga tahun lepas.

Justeru itu, dalam ekonomi globalisasi di mana penghijrahan adalah perkara biasa dan industri mempunyai perkongsian di pelbagai negara, sukar untuk mengenakan sekatan perdagangan seperti itu tanpa turut sama terjejas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here