TAIPING, 30 Okt — Taiping dipilih menjadi bandar pertama di negara ini untuk pelaksanaan fasa pertama projek rintis ‘Age-Friendly City @Taiping’ atau Taiping Bandar Mesra Usia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata projek rintis itu melibatkan proses perancangan pembangunan yang dijangka mengambil masa selama dua tahun di mana Universiti Putra Malaysia (UPM) dilantik sebagai perunding utama.

“Melihat kepada jangkaan senario kependudukan negara bagi tahun-tahun akan datang, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)dengan kerjasama kerajaan Perak, Majlis Perbandaran Taiping dan Tabung Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNDP) telah melekakukan kajian sejak Sept lepas bai projek itu.

“Buat masa ini, kerajaan menerima suntikan dana sebanyak US$267,000 (RM1.1 juta) daripada UNDP bagi fasa pertama sehingga 2020 untuk kajian menyeluruh terhadap status semasa Taiping sebagai bandar mesra usia berpandukan kepada garis panduan antarabangsa yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran projek rintis berkenaan yang turut dihadiri Pegawai Kewangan Perak Abu Bakar Said sebagai mewakili Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Hotel Grand Baron, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata hasil kajian menyeluruh itu akan diasimilasikan untuk membangunkan Kerangka Menyeluruh Kebangsaan yang disesuaikan mengikut keperluan tempatan yang boleh diadaptasi di tempat-tempat lain.

“Projek ini juga merupakan satu instrumen untuk menggabungkan peranan setiap individu dalam komuniti dan masyarakat setempat agar persekitaran yang didiami adalah bebas halangan dan selamat dengan mewujudkan sistem sokongan yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata KPWKM mengharapkan agar konsep bandar mesra usia itu dapat diperluaskan ke seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri beserta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Taman Tasik Taiping. (Gambar fail)
Mengulas lanjut, beliau Perak dijangka menjadi negeri tertua di Malaysia pada tahun 2020 apabila jumlah warga emas mencapai 385,000 orang atau 14.9 peratus daripada jumlah penduduk yang diunjurkan seramai 2.6 juta.

Tambahnya, merujuk kepada unjuran data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, negara akan mencapai status negara tua, atau aged nation menjelang tahun 2030 apabila dijangkakan 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk berumur 60 tahun dan ke

“Ini bermakna populasi warga emas Malaysia pada ketika itu adalah 5.8 juta orang berbanding anggaran jumlah penduduk seramai 38.1 juta,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata menurut WHO, peratusan warga emas yang akan berhijrah atau tinggal di bandar- bandar adalah sama dengan warga muda iaitu pada 80 peratus dan dijangka akan meningkat pada kadar yang sama.

“Lebih ramai warga emas dijangka akan tinggal di kawasan bandar menjelang tahun 2050 mewakili satu per empat daripada jumlah populasi di kawasan bandar di negara membangun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Wakil Residen UNDP Niels Knudsen berkata ketika bandar di dunia terus berkembang, mewujudkan laluan yang lebih mampan bergantung kepada pengelolaan pertumbuhan bandar yang berjaya.

“Oleh itu, kami sangat teruja dengan prospek projek bandar mesra usia ini , dan berpotensi untuk menggunakan pengalaman di Taiping sebagai makluman dasar bahawa negara seperti Malaysia bersedia untuk masa depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here