ARAU, 14 Nov — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meletakkan sasaran 90 peratus kebolehpasaran graduannya untuk tahun ini, berbanding pencapaian 84.50 peratus pada tahun lepas.

Naib Canselornya, Prof R. Badlishah Ahmad berkata berdasarkan kaji selidik yang masih sedang berlangsung, 59.14 peratus daripada 2,817 graduan telah menempatkan diri dalam sektor pekerjaaan antaranya di syarikat multinasional, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) setakat 12 Nov lepas.

Bagaimanapun menurutnya jumlah 2,817 graduan itu hanya mewakili 77.24 peratus graduannya.

“Saya percaya UniMAP boleh mencapai lebih 90 peratus untuk tahun 2019 kerana masih ada lagi graduan yang belum menyelesaikan kaji selidik itu,” katanya dalam sidang media sempena Istiadat Konvokesyen ke-14 universiti itu di sini, hari ini.

Istiadat konvokesyen yang akan berlangsung bermula 16 hingga 19 Nov ini menyaksikan 3,647 pelajar bakal menerima Ijazah Doktor Falsafah, Sarjana, Sarjana Muda dan Diploma masing-masing.

Selain itu, UniMAP akan turut menganugerahkan tiga Ijazah Kehormat kepada individu yang banyak berjasa kepada institusi itu termasuk pemilik Kumpulan Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here