CHANGSHA, HUNAN (CHINA) 15 Nov — Misi perdagangan luar negara oleh Tekun Nasional menerusi Bahagian Antarabangsa dan Projek Khasnya yang baru ditubuhkan Julai lepas diharapkan dapat mengenengahkan usahawan tempatan ke persada antarabangsa dengan pelbagai rangkaian produk buatan Malaysia.  

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Korporat) Tekun Nasional, Roshaimi Harun berkata, dengan kewujudan bahagian tersebut secara tidak langsung mampu menarik minat lebih ramai usahawan tempatan untuk berani memperkenalkan produk mereka di mata dunia.

”Bahagian ini telah kita selaraskan bersama dengan bahagian antarabangsa yang diwujudkan di Kementerian Usahawan,” katanya selepas pelancaran Pameran Komoditi Antarabangsa OTOP 2019, di sini, hari ini.

Roshaimi berkata setakat ini empat misi perdagangan antarabangsa telah dijalankan termasuk di Changsa yang menampilkan seramai 13 usahawan Tekun daripada 46 syarikat usahawan tempatan secara keseluruhannya.

”Melalui bahagian ini kita telah pun mengadakan empat siri misi perdagangan antarabangsa yang mana yang pertama kali di Singapura, yang kedua di Bosnia, yang ketiga di Myanmar dan yang keempat ini di China”, katanya sambil menambah usaha tersebut dapat direalisasikan dengan kerjasama daripada Persatuan Perniagaan Promas Antarabangsa Malaysia dan Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM).

Presiden Persatuan Perniagaan Promas Antarabangsa Datuk Chong Chong Tik yang sering membawa usahawan tempatan ke pasaran antarabangsa menerusi penyertaan ekspo perdagangan menyasarkan usahawan Malaysia menjana hasil jualan lebih 10 bilion renmimbi (RM1=1.69 renmimbi) pada pameran tersebut.

”Sasaran 10 bilion renmimbi selama empat hari bagi pelbagai produk dan yang penting ada repeat order (pesanan berulang), hari ini dan esok untuk pelawat perdagangan sahaja dan bagi dua hari terakhir baru dibuka kepada orang awam”,” katanya ketika ditemui Bernama di pameran tersebut.

Sementara itu, Presiden DPUKM Datuk Seri Abu Hasan Mohd Nor berkata kerjasama Tekun Nasional dan dewan itu dapat mengenengahkan produk paling disukai dari Malaysia iaitu makanan.

”Saya telah membawa lebih kurang 46 peserta dan meliputi semua aspek perniagaan dan yang paling disukai di China terutamanya adalah makanan dengan yang paling mendapat sambutan adalah durian crepe, kopi durian dan ginseng,” katanya.

Abu Hasan berkata, rakyat China sememangnya gemarkan produk Malaysia kerana berkualiti tinggi dan dijamin Halal selain inovasi makanan yang kadang kala tidak dapat dicari di tempat lain selain di Malaysia.

Pameran Komoditi OTOP 2019 berlangsung dari 15-19 November di Pusat Konvensyen Antarabangsa Changsha yang disertai kira-kira 2000 usahawan dan pempamer dari seluruh dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here