KUALA TERENGGANU, 26 Nov — Terengganu bakal mengeksport satu kontena sarang burung walit ke China bermula akhir Januari tahun hadapan, kata Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Beliau berkata pada dasarnya, syarikat dari China itu mahu bekalan minimum tiga kontena namun buat permulaan, kapasiti pengeluaran sedia ada hanyalah satu kontena sahaja.

“Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) akan menjadi orang tengah antara persatuan pengusaha sarang burung walit Terengganu dan syarikat dari China itu untuk penetapan pelbagai mekanisme.

“Antaranya ialah untuk memuktamadkan harga dan kategori yang mahu dieksport sama ada dalam bentuk mentah, separa bersih atau sudah siap diproses,” katanya dalam sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini.

Pengeksportan itu akan memberi manfaat kepada hampir 200 pengusaha sarang burung walit di Terengganu sekali gus menembusi pasaran hab halal makanan di China secara berperingkat.

Mohd Nurkhuzaini berkata YPU juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan beberapa persatuan pengusaha untuk memastikan projek itu berjalan lancar.

“Antara isu yang sering timbul ialah kehadiran orang tengah yang ‘bermain harga’ menyebabkan ia jatuh kepada RM1,800 sahaja untuk satu kilogram sedangkan harga pasaran boleh mencecah RM5,000,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata eksport sarang burung walit itu adalah ‘pembuka’ kepada lebih banyak produk halal usahawan Terengganu ke negara China pada masa akan datang.

“Mereka tidak mengehadkan apa produk yang kita mahu hantar asalkan ia mematuhi piawaian keselamatan makanan di China kerana mereka sangat tegas dalam perkara itu,” katanya.

Beliau berkata beberapa siri taklimat telah diadakan kepada usahawan agar mereka merebut peluang menembusi pasaran ke negara tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here