PUTRAJAYA,12 Dis — Kementerian Kewangan akan meneruskan usaha untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda dan usahawan melalui pelbagai program berkaitan kewangan seperti Festival Putrajaya LIFT (Literasi Teknologi Kewangan). 

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan mahu membantu peniaga kecil mengenai selok belok pengurusan kewangan dan pemasaran bagi memastikan perniagaan mereka dapat berkembang maju.

“Kalau kita tidak tahu urus kewangan, kita tetap akan menghadapi masalah walaupun jualan kita laris. Kedua, pembungkusan juga penting kerana susah untuk menembusi pasaran jika pembungkusan tidak menarik.

“Ketiga, memasarkan produk secara dalam talian kerana ini trend sekarang. Penjualan dalam talian sekarang lebih besar daripada apa yang dijual di pasar raya dan sebagainya,” katanya pada sidang media mengenai festival tersebut, di sini, hari ini.

Lim berkata Festival Putrajaya LIFT akan dipersembahkan dalam konsep yang menyeronokkan dan interaktif dengan persembahan seni dan teknologi yang turut memberi gambaran kewangan masa hadapan. 

“Di samping itu, festival ini turut memberikan inspirasi, serta maklumat relevan dan praktikal terhadap pemerkasaan kewangan dalam dunia teknologi dan digital yang dinamik pada masa kini,” katanya.

Menurutnya, festival yang dianjurkan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) itu akan berlangsung pada 28 dan 29 Disember ini di tiga lokasi iaitu Menara PERKESO Putrajaya, Bangunan Suasana Putrajaya Holdings dan Kompleks Kementerian Kewangan.

Ia akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 28 Dis, manakala Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerikan majlis penutup pada 30 Dis.

Bagi maklumat lanjut mengenai Festival Putrajaya LIFT, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.putrajayalift.com.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here