BANGI, 12 Dis — Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim berkata pemanfaatan teknologi moden dijangka menarik lebih ramai generasi muda untuk menceburi bidang komoditi dan perladangan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing.

Menurutnya, industri perladangan akan meneroka potensi robotik, dron dan telefon dalam masa terdekat.

“Kami akan menarik minat lebih ramai individu khususnya generasi muda dengan kesemua teknologi moden ini dan berharap lebih ramai daripada golongan itu yang akan menyertai industri dan berbangga menceburinya.

“Apabila industri perladangan menggunakan mekanisme yang sofistikated, mereka dapat merasakan tugas mereka lebih mudah berbanding kaedah manual. Ia bukan lagi seperti 3D (bahaya, kotor dan sukar),” katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah anjuran Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

Kok juga menyeru golongan belia supaya menyertai kursus kemahiran dan latihan yang dianjurkan IMPAC.

IMPAC yang ditubuhkan pada 2011, menggabung dan menyelaras kesemua kursus dan latihan yang dijalankan oleh pelbagai agensi di bawah satu organisasi.

Agensi-agensi yang terlibat adalah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (MRB), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (MCB), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Tembakau dan Kenaf Negara (NKTB)

IMPAC telah melatih 70,672 peserta di pusat latihan itu di bawah enam agensi kerajaan sepanjang 2011 hingga 2019 dan dijangka melatih 80,000 peserta menjelang 2020.

Kebanyakan lepasan IMPAC telah diserap ke syarikat-syarikat besar seperti Sime Darby Plantation dan Felda Plantation.  

Sementara itu, Kok dalam ucapannya berkata, sektor komoditi adalah satu daripada penyumbang utama kepada ekonomi negara.

Setakat Oktober tahun ini, perolehan eksport daripada produk agrikomoditi berjumlah RM103.5 bilion atau 12.6 peratus daripada jumlah eksport negara.

“Saya berkeyakinan tinggi bahawa perolehan eksport daripada sektor agrikomoditi akan meningkat kepada RM134.5 bilion pada akhir 2019,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here