SHAH ALAM, 12 Dis — Yuran Kelab Rekreasi Denai Alam (DARC) yang kini dikenali sebagai Kelab Berkuda dan Rekreasi Rakyat Parlimen Shah Alam diturunkan kepada hanya RM50 setahun untuk satu keluarga berbanding RM290 sebelum ini.

Pengasas kelab berkenaan, Datuk Terry Teo berkata kadar yuran baharu berkenaan akan mula dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun hadapan.

“Dengan kadar baharu ini, penduduk Shah Alam hanya perlu membayar yuran RM50 setahun bagi setiap keluarga. Bagi penduduk di sekitar Selangor, mereka perlu membayar RM100 dan RM150 bagi keluarga dari luar Selangor.

“Bayaran sebanyak RM290 pula hanya akan dikenakan kepada keluarga dari negara luar,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian nama baharu kelab berkenaan di sini, hari ini yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam merangkap Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad.

Tambah Teo, tujuan kelab berkenaan mengurangkan kadar yuran tahunannya adalah bagi menarik lebih ramai rakyat tanpa mengira latar belakang belajar menunggang kuda.

“Semua tahu, aktiviti menunggang kuda ini biasanya melibatkan kos yang mahal, disebabkan itu kami turunkan harga yuran sebab mahu bantu orang ramai belajar menunggang kuda.

“Sejak penubuhan kelab ini sekitar 11 tahun lepas, kira-kira 10,000 orang telah belajar menunggang dan mengendalikan kuda. Kami harap dengan yuran baharu ini angka ini dapat meningkat dua kali ganda,” katanya yang memberitahu terdapat kira-kira 80 ekor kuda di kelab berkenaan yang sedia digunakan oleh ahli kelab.

Sementara itu, Khalid dalam ucapan perasmiannya berharap penduduk Shah Alam dapat mengambil kesempatan berkenaan untuk belajar menunggang kuda di samping meluangkan masa bersama keluarga untuk berekreasi di kelab itu.

Selain aktiviti berkuda, terdapat pelbagai aktiviti disediakan oleh kelab berkenaan antaranya memanah, zoo haiwan jinak (petting zoo) dan memberi makan kepada ikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here