KUALA LUMPUR, 17 Dis — Acara teknologi hijau dan perdagangan penyelesaian eko anjuran Kementerian Tenaga, Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) baru-baru ini, berjaya menjana hampir RM6 bilion dari segi potensi perniagaan selain melepasi semua sasaran ditetapkan.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata Pameran dan Persidangan Produk Eko dan Teknologi Hijau Antarabangsa Malaysia (IGEM 2019) Ke-10 di sini pada 9-11 Oktober lepas, turut disertai 376 pempamer dan 40,531 pengunjung dari 43 negara.

Berikutan itu, acara tersebut melepasi sasaran seperti potensi niaga sebanyak RM2.8 bilion, 300 gerai pameran dan 35,000 pengunjung dari 35 negara walaupun dalam persekitaran ekonomi yang lebih perlahan.

Menurut Yeo, perkembangan itu membuktikan potensi ekonomi hijau yang berterusan.

“Kejayaan ini tidak hanya memaparkan kekuatan kita pada tahun depan tetapi juga keinginan serta komitmen untuk melaksanakan agenda tindakan iklim dalam persekitaran ekonomi yang mapan,” kata beliau dalam ucapan yang disediakan bagi sidang media pasca-IGEM 2019 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) Shamsul Bahar Mohd Nor.

GreenTech Malaysia yang juga agensi di bawah MESTECC, merupakan penganjur bersama IGEM.

Selain itu, potensi pelaburan IGEM 2019 turut merangkumi 82 projek yang dicatatkan menerusi penyertaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan potensi eksport RM180 juta menerusi Program Program Penyumberan Antarabangsa anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Menyentuh IGEM tahun depan, Yeo berkata kementerian itu menyasarkan potensi niaga mencecah RM3.4 bilion selain penyertaan 420 pempamer dan 42,000 pengunjung dari 42 negara.

Menurutnya, IGEM 2020 yang dijadualkan pada 7-9 Oktober tahun depan, akan mengetengahkan tema ‘Energising Sustainability’ (Memperkasa Kemapanan) yang memaparkan komitmen Malaysia untuk mengimbangi kemajuan sosioekonomi dan keprihatinan terhadap alam sekitar demi masa depan lebih selamat dan mampan untuk rakyat.

“Dari semasa ke semasa, kita menyaksikan faktor yang menggerakkan tindakan iklim telah menjadi tema kemapanan yang menyeluruh.

“Menerusi konsep ini, kita mahu menggalakkan bahawa kemapanan ekonomi tidak dapat dicapai sekiranya sasaran tindakan iklim kita tidak diserapkan ke dalam strategi perniagaan, proses penggubalan dasar serta program tanggungjawab korporat,” katanya.

Sebanyak 61 pertubuhan juga telah memberi komitmen penyertaan mereka dalam IGEM 2020.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here