KUALA LUMPUR, 28 Dis — Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mencecah paras melebihi RM3,000 satu tan sewaktu ditutup Jumaat – tertinggi dalam tempoh tiga tahun, dipacu oleh pengeluaran lebih rendah serta pengumuman mengenai mandat biodiesel di Malaysia dan Indonesia, baru-baru ini.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics, Dr Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM meningkat secara ketara daripada 50 mata sehingga hampir 100 mata bagi semua kontrak bulanan.

“Pulangan ketara tiga digit yang diraih minyak soya dan olein sawit di Bursa Komoditi Dalian serta prestasi positif minyak soya di Lembaga Dagangan Chicago, turut menjadi pendorong peningkatan melebihi paras 3,000 itu,” katanya kepada Bernama.

Malah, menurut Sathia pengumuman berulang kali mengenai mandat biodiesel di Malaysia dan Indonesia, juga terbukti memperkukuhkan lagi sentimen memberangsangkan di pasaran.

Bagaimanapun, pengukuhan nilai ringgit yang diniagakan pada paras 4.1260/1290 berbanding dolar Amerika Syarikat daripada 4.1310/1350 pada Khamis, hanya menjadikan komoditi itu mahal untuk kalangan pembeli antarabangsa.

Sewaktu ditutup, kontrak minyak sawit pada Mac 2020 meningkat RM68 kepada RM3,073 satu tan, Januari 2020 menokok RM66 kepada RM3,035 satu tan, Februari 2020 menambah RM73 kepada RM3,077 satu tan manakala April 2020 naik RM69 kepada RM3,057 satu tan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 39,187 lot daripada 31,545 lot semalam manakala kepentingan terbuka bertambah kepada 272,739 kontrak daripada 267,984 kontrak sebelumnya.

Di pasaran fizikal, Januari Selatan naik RM70 kepada RM3,040 satu tan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here