LANGKAWI, 30 Dis — Dalam mempamerkan potensi pendidikan 5G, Maxis mengerahkan penggunaan realiti maya (VR) untuk pembelajaran sains dalam program eKelas untuk sekumpulan pelajar di Pusat Internet Kampung Padang Wahid, Langkawi.

Dalam satu kenyataan hari ini syarikat telekomunikasi itu berkata eKelas merupakan program istimewa Maxis untuk masyarakat yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar luar bandar.

Bayangkan dalam sebuah kelas yang mempelajari sel haiwan, murid-murid bukan mempelajarinya dengan membaca buku atau cuba membayangkan rupa bentuk sel dan bagaimana ianya berfungsi, tetapi mereka melalui pengalaman mendalam untuk melihat bagaimana sel-sel bergerak dan memahami bagaimana bahagian-bahagian yang berbeza itu berfungsi.

Kurikulum dihidupkan dengan membiarkan para pelajar menjelajah bahagian sel haiwan menggunakan tangan dan mereka dilengkapi dengan alat VR dan dibimbing oleh guru yang berpusat di Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata syarikat telekomunikasi itu sudah melihat kesan kesalinghubungan melalui program komuniti Maxis eKelas yang mengetengahkan pembelajaran digital untuk pelajar di kawasan luar bandar.

“Kini kami mempunyai lebih daripada 13,000 pelajar di seluruh negara yang disambung dengan program ini. Kami gembira dengan prospek bagaimana 5G dapat meningkatkan lagi program ini dan membawa eKelas ke peringkat baharu dengan meneroka aplikasi realiti maya, dan kami juga gembira melihat bagaimana terujanya para pelajar,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata program ini adalah perkongsian Maxis dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kerana ia dilakukan di Pusat Internet MCMC yang berfungsi sebagai hub digital untuk masyarakat di kawasan yang kurang mendapat perhatian.

Program ini telah diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran sebagai satu inisiatif di bawah program yang sangat meresap, di mana pelajar layak untuk mendapat markah kokurikulum daripada penyertaan mereka dalam eKelas, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here