KUALA LUMPUR, 2 Jan — Firma penyelidikan menjangkakan pemulihan dalam industri semikonduktor pada tahun ini tetapi berbeza pendapat mengenai prospek sektor teknologi disebabkan oleh unjuran jualan automotif yang tidak menentu.

Kenanga Research, yang mengekalkan saranan “overweight” (beli lebih) ke atas sektor itu, berkata terdapat kemungkinan sektor tersebut akan berkembang, selepas segmen rangkaian 5G dan automotif menerima unjuran yang lebih baik.

Suku ketiga 2019 telah menyaksikan 10 peneraju pemasang dan penguji semikonduktor penyumberan luar terbaik global (OSAT) merekodkan pertumbuhan hasil agregat sebanyak satu peratus dari tahun ke tahun.

“Walaupun pertumbuhan ini agak marginal, ia tetap menjadi satu pencapaian yang baik memandangkan industri semikonduktor secara keseluruhan agak tidak stabil pada tahun ini. Kami melihat ini sebagai petunjuk kepada pemulihan yang lebih kukuh pada tahun depan khususnya kepada peneraju OSAT yang terlibat dalam frekuensi radio,” menurut firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini.

Bagaimanapun, AmInvestment Bank mengekalkan unjuran “neutral” untuk sektor berkenaan bagi tempoh 12 bulan akan datang berikutan ketidaktentuan jangka pendek yang menyebabkan kekaburan dalam unjuran beberapa firma semikonduktor.

Unjuran automotif kekal lemah untuk dua tahun yang akan datang, ini akan mengurangkan permintaan semikonduktor daripada industri berkenaan.

Sebaliknya, penjualan telefon pintar dijangka akan berkembang lagi pada tahun ini didorong oleh permintaan untuk model telefon 5G.

Menurut Kenanga Research, sebuah firma Amerika Syarikat (AS) dijangka akan mengeluarkan telefon pintar utama yang akan menyokong kesambungan 5G pada September 2020, walaupun ini akan menarik pembeli tetapi ia diramalkan tidak menyebabkan impak jualan yang besar.

Firma penyelidikan tidak pula menamakan syarikat tersebut dalam laporannya, tetapi sudah ada bayangan bahawa Apple merancang untuk memperkenalkan iPhone12 pada tahun ini yang akan mempunyai keserasian 5G. 

Kenanga Research berpendapat bahawa peneraju OSAT yang terlibat dalam frekuensi radio mungkin akan mendapat keuntungan yang lebih banyak berbanding dengan syarikat yang hanya tertumpu kepada sensor telefon pintar.

“Sehingga tahap tertentu, ketiadaan Google Mobile Services dalam peranti Huawei mungkin akan menyebabkan pelanggan yang tidak celik teknologi ke arah Apple atau Samsung untuk mengelakkan sebarang kesulitan ke atas peranti mereka,” katanya.

Mengenai perang perdagangan AS-China, Kenanga Research menjelaskan walaupun gelombang terakhir tarif baharu telah dibatalkan, ia tidak akan mengubah hakikat bahawa China mahu menjadi mampu diri daripada segi teknologi.

“Ini akan dipacu oleh pemusatan teknologi China seperti ‘Big Fund Phase II’, yang akan memulakan pelaksanaan pada akhir 2019, mewakili peningkatan sebanyak 47 peratus daripada peruntukan dalam Fasa I,” katanya lagi.

Firma penyelidikan berkata, terdapat beberapa tanda pemulihan dalam pasaran automotif utama seperti di China dan Eropah, dan ia menyaksikan D&O Green Technologies Bhd serta KESM Industries Bhd sebagai benefisiari berdasarkan kepada portfolio mereka yang berteraskan automotif.

Sementara itu, AmInvestment Bank Bhd berkata jualan semikonduktor dunia dijangka akan menyaksikan pertumbuhan sederhana pada 2020 dan 2021.

Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia meramalkan jualan tahunan semikonduktor akan menurun sebanyak 12.8 peratus pada 2019 kepada US$409 bilion dan peningkatan sebanyak 5.9 peratus serta 6.3 peratus, masing-masing pada 2020 dan 2021, menandakan pemulihan dengan pertumbuhan sederhana.

Walaupun perjanjian perdagangan ‘fasa satu’ mungkin akan ditandatangani oleh AS dan China pada bulan ini, AmInvestment Bank masih berhati-hati jika wujud kemungkinan lebih banyak perjanjian dan rundingan akan tertangguh jika pilihan raya presiden AS berlangsung pada November nanti.

AmInvestment yang memetik laporan Gartner September 2019 berkata pasaran telefon pintar global dijangka pulih dan berkembang sebanyak 2.9 peratus pada tahun ini akibat daripada penggunaan 5G, selepas merekodkan kemerosotan sebanyak 3.2 peratus dalam penghantaran peranti seperti komputer peribadi, tablet dan telefon bimbit pada 2019.

AmInvestment ketika bercakap mengenai semikonduktor automotif, merujuk kepada ramalan S&P Global Ratings yang mencerminkan ketiadaan pertumbuhan pendapatan pada tahun ini. Agensi penarafan antarabangsa itu mengunjurkan prestasi yang sama pada 2021 dengan semua kawasan dijangka akan menghadapi kelemahan dalam jumlah dagangan kecuali China, yang mungkin akan mengalami pemulihan sederhana selepas 2021.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here