KUALA LUMPUR: Promosi agresif oleh Kementerian Industri Utama bersama agensi di bawahnya telah meningkatkan eksport produk sawit Malaysia sebanyak 2.99 juta tan metrik atau 12% kepada 27.86 juta tan metrik pada 2019 berbanding 24.88 juta tan metrik pada 2018, kata Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Pada kebiasaan, prestasi eksport mencatatkan penurunan pada hujung tahun berikutan kegiatan meningkatkan bekalan minyak sawit lebih awal bagi memenuhi permintaan tinggi semasa musim perayaan (Deepavali dan Tahun Baru Cina), katanya.

“Pada musim sejuk minyak sawit yang membeku turut menjejaskan prestasi eksport minyak sawit pada bulan Okt hingga Dis.

“Bagaimanapun prestasi eksport minyak sawit pada Nov dan Dis 2019 mencatatkan peningkatan lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2018.

“Eksport minyak sawit pada Nov dan Dis 2019 masing-masing berjumlah 1.41 juta tan metrik dan 1.40 juta tan metrik berbanding 1.38 juta tan metrik bagi tempoh yang sama pada 2018,” kata MPOB dalam satu kenyataan bagi mengulas komen bekas perdana menteri Najib Razak mengenai prestasi semasa industri sawit di Facebooknya.

MPOB berkata peningkatan eksport merupakan antara faktor yang mempengaruhi peningkatan harga minyak sawit.

Prestasi semasa harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran mencatatkan kenaikan ketara, iaitu melonjak ke paras tertinggi kepada RM3,025.50 setan metrik pada 31 Dis 2019.

Kali terakhir harga minyak sawit mencatat paras tertinggi ialah pada 22 Feb 2017 (RM3,060 setan metrik) dan jika dibandingkan dengan harga sawit mentah yang terendah pada 18 Mac 2019, iaitu RM1,834.00 setan metrik, terdapat peningkatan harga sebanyak 65% atau RM1,191.50 setan metrik.

MPOB berkata, walaupun India menetapkan duti perlindungan (safeguard duty) 5% ke atas minyak sawit olein RBD, jumlah eksport minyak sawit ke India meningkat sebanyak 75.4% (1.90 juta tan) kepada 4.41 juta tan pada 2019 berbanding 2.51 juta tan pada 2018.

Jumlah keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia ke pasaran dunia pada 2019 meningkat sebanyak 12.0% (atau 1.98 juta tan metrik) kepada 18.47 juta tan metrik berbanding 16.49 juta tan metrik pada 2018.

“Selain itu, peningkatan eksport produk minyak sawit yang ketara bagi tempoh Jan-Dis 2019 telah menyumbang kepada penurunan stok minyak sawit kepada 2.01 juta tan metrik pada bulan Dis 2019 berbanding paras tertingginya iaitu 3.22 juta tan metrik pada bulan Dis 2018, iaitu penurunan sebanyak 1.21 juta tan metrik atau 37.6%.

“Pelaksanaan mandat biodiesel yang tinggi di kedua-dua negara, Malaysia dan Indonesia dijangka akan meningkatkan penggunaan minyak sawit di pasaran tempatan dan mengurangkan penawaran minyak sawit untuk pasaran eksport, seterusnya menyokong peningkatan harga minyak sawit,” kata MPOB.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here