Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Usaha sedang diteruskan untuk membawa pulang seramai 132 orang, yang terdiri daripada 108 rakyat Malaysia dan 24 bukan warganegara yang merupakan pasangan serta anak-anak mereka dari Wuhan, China, esok, kata Duta Besar Malaysia ke China Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin.

Proses penghantaran pulang warga asing susulan penularan wabak novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di negara itu kini sedang diperhalusi bersama oleh pihak berkuasa tempatan di sana dan pasukan peninjau kedutaan terdiri daripada enam pegawai yang tiba di Wuhan pada pukul 3.50 pagi (waktu tempatan) tadi.

Menurut beliau, pasukan peninjau kedutaan itu juga telah mengenal pasti lokasi mereka yang akan terlibat dengan proses penghantaran balik itu.

“Kami masih berbincang dengan pihak berkuasa Wuhan, setakat ini situasi masih belum muktamad. Maklumat lanjut akan diberikan dari semasa ke semasa.

“Di pihak kita semua telah bersedia, lokasi rakyat Malaysia juga kita sudah tahu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan misi membawa pulang rakyat Malaysia itu dengan penerbangan khas dari Wuhan, esok.

Dr Wan Azizah berkata misi itu juga tertakluk kepada kelulusan kerajaan China dan mereka yang akan dibawa pulang hanyalah yang didapati sihat untuk menaiki pesawat selepas menjalani tapisan kesihatan yang ditetapkan oleh Kerajaan China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe.

Misi itu akan disertai lapan orang iaitu enam pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), seorang pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan seorang pegawai Kementerian Luar.

Pesawat AirAsia dengan 12 krew akan digunakan bagi misi itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here