KOTA KINABALU, 11 Feb — Sabah akan menjadi negara pertama yang menggunakan teknologi yang mampu menukar sisa buangan industri perkayuan kepada plastik terbiodegradasikan yang dikenali sebagai Projek Benta X pada tahun depan.

Menurut Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, projek itu akan menjadi usaha sama tiga pihak, yang terdiri daripada Benta Wawasan Sdn Bhd sebagai pembekal bahan mentah, Biosea Corporation Sdn Bhd (pembiaya serta pelabur) dan LAX Global Resources Sdn Bhd (pembekal teknologi).

Kos pelaburan dianggarkan berada pada RM5 bilion untuk tempoh 15 tahun dan ia disasarkan bagi  menghasilkan 10 juta tan plastik terbiodegradasikan sepanjang tempoh tersebut.

“Saya harap kami dapat merealisasikannya menjelang tahun depan, tetapi sudah tentu, pembinaan kilang akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun.

“Inilah masa untuk memastikan Malaysia terus bergerak maju, khususnya bagi Sabah,” kata beliau sambil menambah bahawa kilang itu akan terletak di Tawau.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara tiga buah syarikat itu yang bertempat di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.

Pengerusi Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram Mohd Zakaria menurunkan tandatangan bagi pihak Benta Wawasan Sdn Bhd, sebuah syarikat komersial di bawah Yayasan Sabah; Datuk Lim Sue Beng mewakili Biosea Corporation Sdn Bhd; manakala LAX Global Resources Sdn Bhd diwakili oleh pengerusi eksekutifnya, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail.

Dalam tempoh berkenaan, ianya dijangka akan menjana hasil sebanyak RM42.73 bilion iaitu purata sebanyak RM2.8 bilion hasil jualan setahun.

Anggaran pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan bagi tempoh 15 tahun itu adalah sebanyak RM11 bilion, purata RM733 juta setahun.

Kata Mohd Shafie lagi, projek ini bertujuan untuk membekalkan resin bahan plastik kepada pengilang botol plastik terbiodegradasikan, bekas makanan terbiodegradasikan dan beg plastik terbiodegradasikan.

“Ketika saya melawat beberapa kilang di Keningau, saya melihat sisa, mereka buang dan bakar sahaja,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here