KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) — Kita biasa dengar pekerja kolar biru dan kolar putih tetapi ada satu lagi bidang pekerjaan yang mungkin kurang diberi perhatian iaitu “kolar baharu”.

Kerjaya kolar baharu seperti tukang paip, juruelektrik dan penggunting rambut mungkin dianggap kerjaya kelas kedua pada waktu dahulu tetapi tidak lagi sekarang.

Permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga mahir bidang tersebut mengangkatnya ke satu tahap yang harus dibanggakan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran percaya bidang kolar baharu ini adalah satu peluang yang perlu direbut rakyat Malaysia.

Dalam satu temubual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini, Kula Segaran berkongsi harapan serta potensi besar kerjaya dalam bidang ini.

“Dengan adanya kemahiran, pekerja mempunyai prospek yang lebih baik, boleh mendapat gaji yang lebih lumayan. Contohnya tukang paip, kita pandang sebagai kerja low class tetapi sekarang kita pula yang perlu buat temujanji dengan mereka. Ia menjadi satu bidang yang sangat specialised,” kata beliau.

“Baru-baru ini saya jumpa seorang wartawan seperti anda. Umurnya sudah lebih 30 tahun dan sudah mempunyai keluarga. Dia mengambil peluang untuk belajar menjadi chargeman. Pada waktu bekerja dia menjalankan tugas sebagai wartawan dan pada waktu malam dia belajar.

“Sebab yang beliau beri kepada saya adalah kerana tawaran gaji yang lebih baik, pendapatan lebih tetap dan dia sendiri mempunyai minat dalam bidang itu,” katanya.

Majalah Forbes pada Januari 2019 melalui artikel New-Collar Workers- Who Are They And How Are They Contributing To Our Labor Shortage? oleh Scholley Bubenik memberi tafsiran “kolar baharu” seperti berikut: – Individu yang mendapat kemahiran teknikal dan kemahiran insani yang diperlukan untuk pekerjaan melibatkan teknologi. Pekerja ini juga tidak mempunyai ijazah daripada kolej, sebaliknya mendapat latihan daripada institusi seperti kolej komuniti, sekolah vokasional dan latihan sambil bekerja.

TINGKAT NILAI DIRI

Dalam temubual ini, Kula Segaran turut menyentuh tentang landskap dunia pekerjaan sekarang yang semakin mencabar.

Untuk itu, katanya, seseorang pekerja perlu meningkatkan nilai diri mereka dengan cara mendapatkan kemahiran, meningkatkan kemahiran, mendapatkan kemahiran baharu serta menguasai kemahiran merentasi bidang.

Dalam hal ini, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang memberi tumpuan khusus kepada keterampilan kemahiran modal insan sebagai aset untuk mendapatkan pekerjaan dilihat sebagai pemangkin kepada meningkatkan kemahiran pekerja.

Di negara maju seperti Jerman sebagai contoh,  peratusan tenaga kerja teknikal berkemahiran mencecah 51 peratus.

Di Malaysia, usaha meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir juga giat dilaksanakan melalui inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada awal Oktober 2019.

WKB merupakan hala tuju ekonomi negara bagi tempoh 10 tahun iaitu 2021-2030 dan kelangsungan kepada Wawasan 2020.

Buat masa ini, Malaysia memiliki 28 peratus tenaga kerja mahir dan melalui WKB ia akan ditingkatkan kepada 35 peratus.

“Kita perlu lihat maklumat daripada International Labour Organisation (ILO) bahawa 15 tahun dari sekarang kemungkinan besar antara 15 ke 30 peratus jurusan yang ditawarkan di universiti pada waktu sekarang mungkin tidak lagi wujud dalam sektor pekerjaan.

“Menariknya bagi jurusan yang diajar dalam bidang TVET, semuanya masih relevan dan ia dijamin ILO,” kata Kula Segaran.

MANFAATKAN ILP

Untuk menjayakan hasrat ini, Kula Segaran menyeru semua rakyat Malaysia untuk menjadikan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di seluruh negara sebagai tempat mendapatkan latihan kemahiran TVET.

“Yang cantiknya mengenai ILP ini adalah ia bukan hanya ada di Kuala Lumpur. Ia ada di Kota Bharu, Kuala Terengganu, Skudai, Ipoh, Taiping, Pulau Pinang, Tawau, Sandakan dan sebagainya. Jadi isu tempat bukanlah lagi satu masalah. Tempat-tempat ini mempunyai lingkungan industrinya sendiri.

“Latihan di ILP juga ditanggung sepenuhnya kerajaan. Kerajaan membiayai keseluruhan pengajian daripada yuran pengajian, penempatan di asrama sehinggalah makan minum, ” tambahnya .

Malangnya, walaupun dengan semua kemudahan yang diberikan, ILP seluruh negara hanya diisi antara 70 hingga 80 peratus daripada keupayaan pelatih yang boleh diambil. Ini bererti masih ada 20 peratus kekosongan yang boleh diisi.

Dalam hal ini, Kula Segaran berkata beliau turut mengarahkan agar semua ILP beroperasi sehingga pukul 11.00 malam untuk membuka peluang kepada pelajar separuh masa belajar di institut itu terutamanya bagi golongan yang masih bekerja.

Menurut beliau lagi, mungkin golongan ini akan mengambil masa yang lebih panjang untuk menamatkan latihan namun apa yang penting mereka mendapat peluang untuk meningkatkan taraf kemahiran diri mereka.

GIAT PROMOSI

Kementerian Sumber Manusia juga turut giat melaksanakan promosi melalui media, jerayawara serta kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO).

“Hasilnya pada tahun 2018 kira-kira 16,000 orang yang memasuki latihan tidak termasuk pelajar separuh masa. Pada 2019, jumlahnya bertambah kepada 18,000 orang. Ini adalah hasil kepada promosi yang dijalankan. Kita harap pada 2020 dapat capai 20,000 orang,” kata beliau.

Pihaknya juga sedang mengadakan siri perbincangan dengan pihak Genting Highlands, yang memerlukan lebih 1,000 orang staf teknikal agar lepasan ILP boleh bekerja di sana. 

“Gaji lumayan, tempat sejuk, kerja seronok,” kata Kula Segaran.

Beliau menambah, 96 peratus daripada pelajar institusi latihan mendapat tawaran kerja sebaik sahaja tamat pelajaran. Tambah menarik apabila mereka mereka mempunyai pilihan majikan yang pelbagai yang berhasrat mengambil mereka bekerja.

Bagi pekerja yang melanjutkan latihan untuk meningkatkan kemahiran ke tahap lebih tinggi, permintaan terhadap golongan ini turut meningkat. Kemahiran yang dimiliki turut meningkatkan mobiliti mereka dalam pasaran kerja.

Ulas Kula Segaran, walaupun ada majikan yang tidak melihat pekerja mahir mereka beralih ke syarikat lain namun ini adalah satu fenomena biasa di seluruh dunia.

Melalui WKB kerajaan akan memberi fokus dalam menjayakan keempat-empat proses ini. Ia adalah peluang yang boleh dimanfaatkan oleh 15 juta pekerja yang mahu meningkatkan nilai diri masing-masing.

ORANG ASLI

Kula Segaran turut mengambil peluang menggunakan ILP sebagai landasan untuk meningkatkan taraf kehidupan golongan muda Orang Asli.

“Semasa saya menjadi ahli pembangkang kerap kali masalah dan perkara mengenai orang asli saya bangkitkan di Parlimen. Kita semua tahu mereka adalah masyarakat yang sangat marginalised dan tumpuan kerajaan serta agensi tidak cukup untuk tingkatkan sosio ekonomi mereka, “ katanya.

Kementerian Sumber Manusia, jelas beliau membuka peluang kepada anak-anak muda Orang Asli untuk mempelajari ilmu kemahiran di ILP di Ipoh, Perak.

Lokasi ini dipilih atas faktor lokasinya yang dekat dengan beberapa penempatan Orang Asli seperti dari Cameron Highlands, Tapah dan Grik.

Bilangan anak Orang Asli yang mengikuti program ILP di jangka meningkat kepada 17 orang pada 2020 berbanding hanya lapan orang pada 2018.

“Saya baru dapat berita baik bahawa sudah ada permintaan serupa untuk memasuki pusat latihan TVET di Kelantan, Negeri Sembilan dan Selangor. Saya memberi peluang untuk mereka masuk ke mana-mana pusat latihan TVET, tidak semestinya ILP di negeri-negeri ini. Di Selangor contohnya ada banyak pusat latihan TVET di seluruh negeri.”

“Kita beri pilihan kepada mereka untuk mengambil bidang yang mereka minati. Saya harap pada masa depan ratusan anak Orang Asli akan mempelajari ilmu kemahiran di ILP di seluruh negara,” tambahnya.

Bagi Kula Segaran apa yang penting, anak-anak Orang Asli dapat membantu meningkatkan tahap sosio-ekonomi keluarga mereka melalui kemahiran yang mereka miliki.

RUANGAN SISI

INISIATIF KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

Untuk meningkatkan mutu perkhidmatan Kementerian Sumber Manusia (KSM), menterinya M. Kula Segaran mencetuskan ide mengadakan Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan pada setiap hari Selasa setiap minggu.

Melalui program ini, semua jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) di bawah dan berkaitan dengan KSM dikumpulkan di lobi bangunan KSM di Putrajaya. Mana-mana pihak yang memerlukan khidmat nasihat boleh menemui pegawai yang bertugas.

Tambah menarik apabila Kula Segaran sendiri hadir untuk melayani mereka yang datang.

Bagi beliau , program berkenaan adalah pusat setempat dan ia merupakan usaha untuk memudahkan urusan rakyat dan semua kementerian juga boleh bekerjasama.

“Bagi saya penting untuk membantu mereka yang mempunyai isu dengan kementerian ini kerana ia bukan sukar kerana ada pegawai kami yang boleh membantu.  Pogram ini juga boleh melibatkan kementerian lain yang berkaitan.

“Sebagai contoh, sekiranya ada pihak yang mengalami masalah mendapatkan pekerja asing, ini bukan sahaja urusan Kementerian Sumber Manusia semata-mata. Ia juga melibatkan kelulusan Kementerian Dalam Negeri, “ katanya.

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

–BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here