PUTRAJAYA, 15 Feb (Bernama) — Pengurusan pusat membeli-belah di Wilayah Persekutuan diingatkan supaya meningkatkan langkah pencegahan COVID-19 dengan mengikut saranan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

“Keadaan masih terkawal. Setakat ini tidak ada keperluan untuk menutup mana-mana pusat membeli-belah di Wilayah Persekutuan dan tidak ada permintaan dari KKM untuk pihaknya berbuat demikian. 

“Apa yang penting semua pihak termasuk pengurusan pusat membeli-belah dan pengunjung mengamalkan langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh KKM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pertandingan Memancing Putrajaya 2020 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Feb di sini, hari ini. 

Baru-baru ini, KKM mengeluarkan panduan langkah pencegahan COVID-19 di pusat membeli-belah di mana pemilik premis perlu kerap melakukan disinfeksi di eskalator dan susur tangan, troli, tombol pintu dan butang lif. 

Pengunjung pusat membeli-belah pula perlu kerap membasuh tangan dengan sabun dan air serta menggunakan cecair pembasmi kuman tangan selain memakai penutup mulut dan hidung.

Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 21 kes positif COVID-19 dengan 15 kes melibatkan warganegara China dan enam merupakan warganegara Malaysia. Daripada 21 kes positif ini, tujuh individu sudah  sembuh dan dibenarkan pulang. 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here