KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) — Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, yang hari ini dilantik sebagai Menteri Kewangan, telah meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd dan CEO CIMB Bank Bhd berkuat kuasa serta-merta.

Tengku Zafrul turut meletak jawatan daripada semua jawatan lain dalam Lembaga Pengarah pada tarikh yang sama, menurut kumpulan perbankan itu dalam kenyataan hari ini.

Lembaga Pengarah CIMB Group telah melantik Omar Siddiq, merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, sebagai pegawai yang bertanggungjawab untuk CIMB Group dan CIMB Bank Bhd, dengan berkuat kuasa serta-merta.

“Lembaga Pengarah telah memulakan pelan penggantiannya,” katanya.

Pengerusi CIMB Group Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata Tengku Zafrul telah berkhidmat dengan kumpulan itu selama enam tahun, selepas menyertai semula pada 2014.

“Beliau telah melaksanakan tugas dengan cemerlang, merangka transformasi CIMB di bawah pelan strategik T18 dan Forward23 kami. Tenaga dan komitmen beliau kepada CIMB sukar untuk ditandingi tetapi beliau meninggalkan organisasi dengan lebih baik dengan kedudukan yang lebih kukuh apabila beliau telah menyatukan dan memupuk budaya CIMB yang kukuh.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tengku Zafrul atas semua sumbangannya kepada kumpulan dan mengucapkan tahniah atas pelantikannya,” kata Mohd Nasir.

Pelantikan Tengku Zafrul sebagai Menteri Kewangan dalam barisan Kabinet yang baharu dianggap bersejarah berikutan jawatan yang berpengaruh itu biasanya untuk seorang tokoh kanan dalam parti politik yang memerintah. 

Dalam banyak keadaan, Perdana Menteri turut memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here