KUALA LUMPUR, 21 Mac — United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) telah mengumumkan langkah-langkah bantuan untuk membantu pelanggannya di Malaysia yang terjejas oleh wabak COVID-19.

Bank itu dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah tersebut dibuat bagi membantu pelanggan dalam sektor korporat seperti perusahaan kecil dan sederhana ( PKS) termasuk pelanggan individu dalam bentuk kelonggaran pengurusan aliran tunai serta meringankan beban kewangan mereka.

Langkah-langkah ini, yang merangkumi pelanggan perbankan konvensional dan perbankan Islam, terdiri daripada penangguhan pembayaran pinjaman sehingga setahun, permohonan lanjutan bil perdagangan yang matang antara 18 hingga 31 Mac 2020 kepada pelanggan yang mempunyai rekod yang baik, permohonan untuk kemudahan bantuan khas kerajaan dan moratorium sehingga enam bulan ke atas pinjaman peribadi mereka, gadai janji serta kad kredit untuk pelanggan individu.

“Kami komited untuk menyokong dan membantu pelanggan-pelanggan kami yang terjejas oleh COVID-19 dan kami akan bertindak dengan pantas bagi membantu mengurangkan beban kewangan mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong.

Langkah-langkah UOB Malaysia untuk para pelanggannya akan dinilai dan diluluskan berdasarkan kesesuian kes.

“Bank akan terus menilai senarai langkah-langkah bantuan untuk pelanggan perbankan konvensional dan perbankan Islam bagi memastikan ia mampu memberikan mereka sokongan yang mencukupi dalam mengharungi keadaan yang sukar seperti sekarang.

“Sepanjang tempoh ini, bank menggalakkan pelanggan untuk menggunakan kemudahan Perbankan Peribadi Internet UOB, Perbankan Perniagaan Internet UOB Plus dan aplikasi perbankan mudah alih UOB Mighty berbanding membuat lawatan fizikal ke cawangan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here