PUTRAJAYA, 25 Mac (Bernama) — Terdapat 172 kes baharu dilaporkan sehingga 12 tengah hari ini menjadikan kes positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 1,796 kes, manakala kematian akibat wabak itu kini berjumlah 19 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan siasatan awal, daripada 172 kes baharu yang dilaporkan hari ini, 71 kes berkaitan dengan kluster perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling.

“Manakala baki 101 kes masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini. 

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini sebanyak 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 34 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata 16 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 dan discaj dari wad adalah 199 kes.

Setakat ini, terdapat 73 anggota kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dikesan positif COVID-19 dan berdasarkan siasatan, punca jangkitan bukan disebabkan oleh pengendalian kes positif COVID-19 di fasiliti Kesihatan KKM.

“Daripada jumlah tersebut, didapati punca jangkitan bagi 47 kes adalah berkaitan dengan majlis perkahwinan yang dihadiri oleh mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh. Lain-lain punca adalah seperti sejarah melawat ke luar negara dan daripada kontak keluarga yang positif COVID-19,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata seramai 1,895 anggota KKM yang menguruskan pesakit COVID-19 di fasiliti kesihatan KKM telah menjalani ujian pengesahan, dan 1,187 orang adalah negatif manakala 708 lagi masih menunggu keputusan dan tiada yang dikesan positif.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memohon semua anggota kesihatan dan barisan hadapan memaklumkan kepada ketua jabatan masing-masing sekiranya terlibat secara langsung atau mempunyai kontak dengan peserta yang menghadiri program Ijtimak Tabligh di Sri Petaling dari 27 Feb sehingga 1 Mac, majlis perkahwinan pada  6 Mac di Bangi atau majlis perkahwinan pada 7 Mac di Putrajaya. 

Mengenai perlanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP ) sehingga 14 April, orang ramai dinasihat terus mengekalkan jarak sosial lebih dari satu meter antara satu sama lain.

Orang ramai boleh menghubungi ‘virtual health advisory’ dari 8.30 pagi hingga 5 petang setiap hari dan mengikuti sesi Facebook live KKM dari 10 pagi hingga 10.30 pagi dan Facebook live DoctorOnCall dari 3 petang hingga 3.30 petang yang diadakan pada Isnin sehingga Jumaat. 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here