PUTRAJAYA, 29 Mac (Bernama) — Malaysia mencatatkan jumlah kes kematian tertinggi akibat COVID-19 apabila tujuh kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 34 orang. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kes positif COVID-19 juga meningkat kepada 2,470 kes susulan penambahan 150 kes baharu hari ini.

“Kes kematian ke-28 (kes ke-2321) adalah perempuan warga Malaysia berumur 91 tahun. Beliau mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 26 Mac, disahkan meninggal dunia pada 28 Mac pukul 8.48 pagi,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19, hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-29 (kes ke-2123) pula perempuan warga Malaysia berumur 64 tahun dengan latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Beliau dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan pada 25 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 28 Mac pukul 10.15 malam.

“Bagi kematian ke-30 (kes ke-2322) adalah lelaki tempatan berumur 76 tahun juga latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. Beliau dirawat di PPUM dan disahkan meninggal dunia pada 28 Mac, pukul 11.33 malam,” katanya.

Kes kematian ke-31 (kes ke-2323), lelaki warga Malaysia berumur 27 tahun dengan latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Beliau dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak pada 27 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 28 Mac, pukul 7.44 malam, katanya.

Bagi kes kematian ke-32 (kes ke-1239), merupakan lelaki warga Malaysia berumur 50 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi, katanya.

“Beliau merupakan peserta perhimpunan (tabligh) Sri Petaling. Beliau dirawat Hospital Enche’ Besar Hajah Kalsom, Johor pada 22 Mac dan disahkan meninggal dunia pada pada jam 7.44 malam tadi.

“Kes kematian ke-33 (kes ke-1249) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 37 tahun, yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara India.

“Beliau dirawat di Hospital Permai, Johor pada 21 Mac dan  disahkan meninggal dunia pada jam 11.25 malam tadi,” tambahnya.

Seterusnya, kematian ke-34 (kes ke-787) adalah lelaki warganegara Malaysia berumur 77 tahun juga dengan  latar belakang penyakit darah tinggi.

Jelasnya, lelaki itu dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada pada jam 10.40 pagi ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 68 kes pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah 388 kes.

Sehingga kini, 73 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 52 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here