Raja Muda of Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

KANGAR, 1 April  — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah semua pihak harus berganding bahu mencegah ketirisan dalam penyaluran bantuan ketika penularan wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar manfaat dapat dioptimumkan kepada golongan sasar.

“Bantuan yang disalurkan hanya akan memberikan manfaat apabila ianya diurus dengan jujur oleh mereka yang diamanahkan untuk menguruskan agihan.

“Selain itu, pihak yang diamanahkan juga harus bijaksana dan menggunakan pendekatan berhemah dalam melaksana tugasan memberikan bantuan agar tiada golongan yang ketinggalan,” baginda bertitah menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah baginda bersyukur kerana semua pihak sama ada agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) termasuk pihak korporat telah meningkatkan sumbangan dan mempermudah prosedur untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Janganlah ada pihak yang menangguk di air keruh dengan pelbagai tindakan yang mampu mencemarkan nilai ketelusan. Bagi pihak yang menerima bantuan pula, pastikanlah hanya mereka yang benar-benar berkeperluan sahaja agar bantuan berkenaan hanya mengalir kepada mereka yang berhak,” titah baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs.

Untuk rekod, sehingga 29 Mac, MAIPs telah mengumumkan lapan inisiatif bernilai RM4.5 juta berbentuk bantuan kepada warga asnaf, golongan terputus bekalan, peniaga Muslim, asnaf berdikari, para pelajar serta program dakwah dan ilmu dalam usaha membantu menangani krisis penularan pandemik COVID-19 dan PKP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here