PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) — Situasi COVID-19 di negara ini menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila jumlah pesakit yang pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj dari wad hari ini berjumlah 168 orang, melebihi jumlah kes positif baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga pukul 12 tengah hari ini, terdapat 134 kes baharu direkodkan menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia sebanyak 4,817 kes. 

“Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj dari wad adalah 2,276 kes atau 47.23 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. Sekali lagi, bilangan kes yang didiscaj hari ini juga adalah melebihi bilangan kes baharu yang dilaporkan,” katanya.

Bercakap pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini, Dr Noor Hisham berkata terdapat pertambahan satu lagi kes kematian menjadikan keseluruhannya sebanyak 77 kematian akibat COVID-19, setakat ini.

Beliau berkata kematian ke-77 (kes pesakit ke-2,797) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung, darah tinggi dan buah pinggang.

“Beliau merupakan peserta perhimpunan di Seri Petaling. Beliau dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 April, pukul 9.15 pagi.

“Setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 2,464 kes dan semua kes aktif telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, 66 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 36 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here