Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 19 April — Kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif dan akan meneruskan usahanya bagi menangani impak ekonomi akibat daripada penularan pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan hari ini berkata kerajaan negeri menyedari akan kesan ekonomi yang tidak dapat dielakkan terutamanya terhadap perniagaan dan rakyat. 

“Pengalaman luas Pulau Pinang dalam perindustrian akan menjadi asas dalam membantu ekonomi mengharungi tempoh getir yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Chow berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E) Pulau Pinang telah berkembang dan dipelbagaikan sejak 50 tahun lepas dan mempunyai persediaan untuk melangkah ke fasa seterusnya teknologi pembuatan, peralatan dan produk inovatif yang memasuki norma baharu. 

Beliau juga berkata peningkatan permintaan di seluruh dunia terhadap bekalan perubatan, produk dan peralatan bagi memerangi COVID-19 juga akan membuka peluang kepada industri peralatan perubatan Pulau Pinang dan mewujudkan perniagaan baharu serta peluang pekerjaan. 

“Ekonomi digital akan terus menjana kemungkinan baharu bagi mempercepatkan pembangunan dengan meningkatkan kecekapan perniagaan dan produktiviti, mengembangkan akses kepada pasaran sedia ada dan baharu yang akan memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini serta memupuk keusahawanan berkaitan teknologi bagi menyokong ekosistem. 

“Menerusi Digital Penang, negeri ini bersama-sama dengan pemain teknologi dan pakar Teknologi Maklumat (IT) akan meneroka penyelesaian teknologi baharu sebagai sebahagian daripada ‘Strategi Normal Seterusnya’ dan melaksanakan pembaharuan ekonomi dengan menggalakkan penggunaan platform digital dalam sektor ekonomi,” kata Chow. 

Sementara itu, beliau juga berkata kerajaan negeri akan terus melaksanakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, protokol kesihatan serta memastikan kebersihan sepanjang masa untuk memastikan Pulau Pinang yang lebih bersih dan sihat. 

“Kerajaan negeri akan terus memantau situasi COVID-19 dengan penekanan kepada kesannya ke atas kesihatan awam, kesejahteraan sosial dan implikasi ekonomi,”katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here