PUTRAJAYA, 23 April — Langkah-langkah kawalan keselamatan sempadan perlu terus diperketatkan walaupun selepas tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata perkara itu amat penting, selaras dengan keadaan semasa yang menyaksikan lebih 180 negara mencatatkan ada kes positif COVID-19.

“Saya rasa itu perkara penting (kawalan sempadan)… terutama apabila dilihat kepada lebih banyak kes dikenal pasti di negara-negara lain.

“Menamatkan PKP bukan bermakna kita akan longgarkan kawalan kesalamatan di sempadan, malah kita seharusnya mengetatkannya lagi,” katanya dalam persidangan media harian di sini.

Selain kawalan keselamatan di sempadan, lima lagi kriteria yang perlu dipenuhi sebelum kerajaan menamatkan PKP ialah kawalan pergerakan, keupayaan sistem penjagaan kesihatan negara, keupayaan melindungi kumpulan berisiko tinggi, amalan kebiasaan baharu dan pelaksanaan langkah-langkah pencegahan jangkitan dalam komuniti

Sementara itu mengulas mengenai keputusan kerajaan negeri Sarawak yang membenarkan peniaga makanan melakukan aktiviti jualan di kawasan kediaman mereka, Dr Noor Hisham berkata setiap negeri perlu mengikut panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya sebarang keputusan haruslah mengambil kira garis panduan itu, bagi mengelak sebarang bentuk perhimpunan. 

“Kalau boleh kita elak perhimpunan. Kedua, kita mahu elak kesesakan, mungkin setiap negeri ada cara masing-masing (untuk membuat keputusan) tetapi mereka perlu ikut garis panduan KKM, itu yang penting,” katanya.

— BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here