PUTRAJAYA, 27 April (Bernama) — Angka kes pulih COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan perkembangan positif apabila mencatatkan jumlah dua kali ganda daripada bilangan kes baharu yang dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak 95 kes yang pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih adalah sebanyak 3,957 kes atau 67.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kes positif baharu pula terus mencatatkan angka dua digit iaitu 40 kes, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,820 kes, kata beliau. 

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,764 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media harian berkaitan COVID-19 di sini hari ini. 

Bagaimanapun menurutnya terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kematian adalah sebanyak 99 kes, atau pun 1.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata kes kematian ke-99 melibatkan lelaki warganegara Malaysia berumur 78 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok yang telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 7 April dan disahkan meninggal pukul 4.31 pagi tadi. 

Sehingga kini, Dr Noor Hisham berkata  seramai 37 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 17 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here