PUTRAJAYA, 5 Mei (Bernama) — Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengumumkan kes positif COVID-19 terendah direkodkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac,  dengan 30 kes dilapor sehingga 12 tengah hari tadi.

 Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini menjadikan jumlah kumulatif kes dalam negara setakat ini ialah 6,383 kes.

Katanya selain itu, 83 pesakit COVID-19 telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 4,567 kes, iaitu 71.55 peratus daripada keseluruhan kes.

“ Daripada 30 kes baharu yang dilaporkan, tiada kes import dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah sebanyak 30 kes, iaitu sebanyak 21 kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Katanya terdapat pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 106 kes. 

“Kes kematian ke-106 (kes ke-830) merupakan lelaki warga  tempatan berumur 47 tahun. Beliau telah dimasukkan ke hospital swasta mulai 15 Mac lepas, kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh pada keesokannya. Beliau disahkan meninggal dunia pada 5 Mei (hari ini), pukul 2.10 pagi,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here