PUTRAJAYA, 12 Mei — Operasi memburu pendatang tanpa izin yang giat dilaksanakan sekarang tiada kaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat (PKPB) susulan penularan COVID-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebaliknya kegiatan itu seiring dengan pendirian tegas kerajaan yang mahu memastikan negara ini bebas daripada pendatang tanpa izin.

“Semasa negara tidak dilanda wabak COVID-19, banyak operasi telah dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Operasi ini tidak hanya dilaksanakan semasa PKP ataupun PKPB, tetapi proses berterusan membanteras pendatang tanpa izin,” katanya pada sidang media harian mengenai PKPB di sini hari ini.

Ismail Sabri menegaskan undang-undang negara ini yang tidak membenarkan kemasukan warga asing tanpa dokumen turut diguna pakai oleh negara-negara lain.

“Tidak ada mana-mana negara yang memberikan kebebasan kepada warganegara yang tidak mempunyai dokumen untuk masuk ke negara mereka,” katanya.

Menurutnya negara terbabit juga akan menangkap dan mengambil tindakan terhadap warga asing tanpa dokumen sah tersebut.

Kerajaan hanya menguatkuasakan undang-undang sedia ada, katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here