KUANTAN, 17 Mei  — Polis menahan tujuh lelaki dipercayai berjudi dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Jengka 7, Maran dekat sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata suspek yang berumur 50 hingga 72 tahun itu merupakan warga tempatan dengan majoriti daripadanya peneroka di tanah rancangan itu. 

“Serbuan dilakukan pada 1.00 tengah hari semalam atas aduan orang awam dan semasa itu, semua suspek dilihat berkumpul di sebuah meja dan leka berjudi menggunakan daun terup. 

“Suspek dipercayai melakukan kegiatan itu berdasarkan penemuan 56 keping kad daun terup dan wang tunai berjumlah RM1,501 di lokasi kejadian,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini. 

Norzamri berkata polis juga merampas tiga meja dan 13 kerusi plastik dipercayai dibawa ke lokasi itu bagi kegiatan tersebut. 

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kesemua suspek juga disiasat kerana melanggar Peraturan 6 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) kerana berhimpun untuk bermain judi di tempat awam. 

— BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here