PUTRAJAYA, 2 Jun (Bernama) — Malaysia hari ini melaporkan kes penularan dalam negara COVID-19 satu angka iaitu lima kes daripada keseluruhan 20 kes positif baharu yang direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata 15 kes lagi adalah kes import iaitu mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada lima kes penularan tempatan, tiga adalah kes bukan warganegara manakala dua kes membabitkan warganegara, ” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, di sini hari ini.

Jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 7,877 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan ialah 1,292 dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan. 

Katanya tiada kes kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam lepas  dan jumlah kumulatif yang meninggal dunia kekal pada 115 kes.

Dr Noor Hisham berkata 66 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 dan dibenar keluar dari hospital sebanyak 6,470 kes atau 82.1 peratus daripada keseluruhan kes. 

Seramai enam pesakit sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua memerlukan bantuan pernafasan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here