KUALA LUMPUR, 6 Jun — Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu syarikat Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) mulai 1 Julai ini. 

Beliau akan menggantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang dilantik sebagai pengerusi baharu syarikat Malaysia Airlines Bhd (MAB).

Tengku Muhammad Taufik merupakan Ketua Pegawai Kewangan PETRONAS yang dilantik sejak 2018. 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini berkata dalam suasana ekonomi yang mencabar sekarang, terdapat beberapa syarikat kerajaan yang perlu diperkukuhkan lagi untuk menghadapi norma dunia yang baharu.

“Kerajaan dalam hal ini meneruskan usaha mengkaji semula kepimpinan syarikat-syarikat milik kerajaan bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara,” katanya. 

Muhyiddin turut mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Wan Zulkiflee selama 37 tahun perkhidmatan beliau bersama PETRONAS. 

“Beliau telah berjaya mengekalkan PETRONAS sebagai salah sebuah syarikat kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan ditadbir dengan cemerlang.

“PETRONAS juga adalah satu-satunya syarikat kerajaan yang mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan masih tersenarai dalam Fortune Global 500,” katanya. 

Dalam pengumuman sama, Muhyiddin menzahirkan harapan beliau untuk MAB berkembang dan mampu berdaya tahan di bawah kepimpinan Wan Zulkiflee.

“Saya percaya di bawah kepimpinan beliau, syarikat MAB akan dapat distruktur semula dan terus berkembang sebagai syarikat penerbangan nasional yang berdaya tahan dan mampan serta mempunyai tadbir urus yang baik,” katanya. 

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here