KUALA LUMPUR, 19 Jun — Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (MPP PKR) hari ini memuktamadkan keputusan parti itu yang kekal mencalonkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Mesyuarat MPP parti yang diadakan pagi tadi, turut memutuskan bahawa PKR tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Menurut kenyataan MPP PKR hari ini, parti itu mengambil kira pandangan semua pihak dalam mencari jalan terbaik mempertahankan kebajikan rakyat dan membawa keadilan untuk semua rakyat.

“PKR tetap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Tun Dr Mahathir demi usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.

“Bagaimanapun, parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan kekal dengan konsensus Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.

Kemelut memilih calon perdana menteri PH tercetus apabila parti komponen gabungan itu dilihat seakan-akan tidak mencapai konsensus dalam menentukan calon perdana menteri sekiranya membentuk kerajaan.

“PKR pada masa sama akan terus menumpukan tenaga dan bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum mengejut yang mungkin dipanggil pada bila-bila masa,” menurut kenyataan itu,

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here