PUTRAJAYA, 22 Jun — Mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) petang esok akan membincangkan secara teliti mengenai kebenaran mengadakan majlis perkahwinan dan keputusan akan diumumkan pada Rabu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memahami keluhan syarikat pengurusan majlis perkahwinan yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

“Perbincangan esok bukan sahaja dari segi kebenaran, tetapi juga prosedur operasi standard (SOP). Kita bincang dari segi jumlah kehadiran, adakah setakat 250 orang atau pun mungkin lebih lagi,” katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), di sini, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan meneliti pelaksanaan Solat Jumaat dua sesi seperti yang dilaksanakan di Singapura.

“Setakat ini, kita telah benarkan Solat Jumaat diadakan satu pertiga daripada kapasiti masjid. Sama ada dua sesi dibolehkan, maknanya satu pertiga sesi pertama, satu pertiga lagi sesi kedua, perkara ini saya percaya akan diteliti. Kalau ada keputusan kita akan umumkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here