KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) — Mesyuarat Khas Menteri-menteri mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memutuskan warga asing yang pas lawatan sosialnya tamat tempoh semasa PKP boleh ke Jabatan Imigresen untuk mendapatkan lanjutan tempoh.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bagi warga asing yang pas lawatan sosial tamat tempoh ketika PKP Pemulihan (PKPP), mereka boleh terus ke lapangan terbang untuk menaiki penerbangan pulang ke negara masing-masing dalam tempoh 14 hari dari tarikh PKPP tamat.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan 72 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 38,501 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin, terutamanya melalui lorong-lorong tikus.

“PDRM telah berjaya menahan lapan warga asing atas kesalahan imigresen. Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan di kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata seramai 142 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Singapura, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia, India, China dan Belanda dengan kesemua mereka telah diperintah menjalani kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here