PUTRAJAYA, 7 Julai — Banci Penduduk dan Perumahan yang dilaksanakan setiap 10 tahun memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia bagi menjadi sumber rujukan dan asas penting kepada perancangan pembangunan negara.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melancarkan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020) di sini hari ini, berkata melalui aktiviti itu, saiz, taburan, komposisi dan ciri sosioekonomi penduduk serta perumahan di Malaysia dapat dikenal pasti. 

“Maklumat seperti fasiliti pendidikan, kesihatan, rekreasi, jaringan jalan raya yang diperoleh akan digunakan untuk menggubal dan melaksanakan polisi kerajaan untuk tujuan pembangunan negara dan kepentingan rakyat,” katanya yang turut memohon  rakyat Malaysia memberikan kerjasama  bagi menjayakan Banci 2020.

Katanya walaupun negara masih melalui saat-saat sukar susulan wabak COVID-19 dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), panduan prosedur operasi standard (SOP) akan disediakan dan dipatuhi petugas Jabatan Perangkaan dan masyarakat yang terlibat dalam melengkapkan keperluan Banci 2020.

Muhyiddin berkata maklumat yang dibekalkan melalui Banci 2020 akan mencorakkan kehidupan generasi pada masa depan yang bakal mengemudi negara ke satu tahap yang lebih baik. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here