PETALING JAYA,12 Julai: Muhyiddin Yassin akan membentangkan satu usul di Dewan Rakyat yang mula bersidang esok untuk mencadangkan Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menjadi ahli baru Jawatankuasa Pemilih.

Hamzah Zainudin (Larut), Ahmad Zahid Hamidi (Bagan), Fadillah Yusof (Petra) dan Abdul Hadi Awang (Marang) turut akan dicadangkan menganggotai Jawatankuasa Pemilih itu.

Mereka dijangka menggantikan Muhyiddin, Ismail Sabri Yaakob (Bera), Dr Wan Azizah Wan Ismail (Pandan), Mohamad Sabu (Kota Raja), Darell Leiking (Penampang) dan Tan Kok Wai (Cheras).

Jawatankuasa Pemilih akan menyiasat isu khusus atau melaksanakan peranan penelitian khas.

Perdana menteri turut akan mencadangkan jawatan disandang Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya, Nga Kor Ming dikosongkan serta digantikan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Azhar Harun dan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said.

Mendahului aturan mesyuarat esok ialah usul yang akan dibentangkan Hamzah yang juga menteri dalam negeri memohon Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador memastikan jalan ke Parlimen bebas daripada sebarang gangguan.

Rang undang-undang lain yang dijangka dibahaskan dalam Dewan Rakyat yang akan bersidang sehingga 27 Ogos ini, termasuk RUU Racun (Pindaan) 2019 untuk melindungi hak pesakit dengan memberi mereka pilihan menentukan tempat mendapatkan bekalan ubat bagi rawatan.

RUU asal yang membolehkan doktor didenda dan dipenjarakan kerana enggan memberi preskripsi atas permintaan pesakit dikritik Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebagai “tidak wajar”.

RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 turut akan dibentangkan bagi bacaan ke-2. Ia akan diusulkan perdana menteri.

Isu lain yang dijangka dibahaskan termasuk Covid-19, keadaan ekonomi negara, Rohingya, keselamatan siber, diskaun cukai taksiran dan pendaftaran pengundi 18 tahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here