KUALA LUMPUR, 14 Julai — Tindakan akan diambil terhadap 255 individu yang didapati masih ingkar menjalani ujian saringan kedua COVID-19 pada hari ke-13 kuarantin di rumah, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang memantau individu terbabit dan mengesan lokasi mereka dan mereka digesa untuk tampil ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berdekatan untuk menjalani ujian saringan kedua.

“PDRM akan mengambil tindakan jika mereka masih ingkar termasuk kompaun RM1000 ataupun (dihadapkan ke mahkamah yang membawa hukuman) penjara maksimum dua  tahun,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen hari ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan memandang serius kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, seperti yang berlaku di Melaka apabila individu terbabit tidak berkurung di dalam bilik sahaja sewaktu kuarantin di rumah dan telah menjangkiti bapanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata seramai 17,689 orang telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)  dari 10 Jun sehingga 13 Julai lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here