KUANTAN, 19 Julai– Kerajaan menggalakkan pertukaran teknologi daripada negara China termasuk dalam aspek komunikasi dan multimedia memandangkan negara tersebut antara yang pantas dalam inovasi bidang tersebut. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata walaupun China tidak terkenal sebagai peneroka teknologi baharu, namun ia antara negara termaju dalam inovasi aplikasi teknologi pelbagai peringkat. 

“Kemampuan China untuk membangunkan inovasi adalah sangat pantas. Mereka belajar dari negara lain yang lebih maju dan cepat melakukan inovasi dengan kemampuan rakyat sendiri. Kita berharap di samping berniaga, kita boleh belajar bagaimana perkara itu boleh dilakukan di sini. 

“Kita juga mahu memperkenalkan lebih banyak syarikat China termasuk dalam bidang telekomunikasi di Malaysia kerana banyak syarikat besar di sana masih tidak dikenali di sini, sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang perniagaan,” katanya.

Saifuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) di sini semalam. Majlis turut dihadiri Presiden PUCM Datuk Keith Li dan Penasihat PUCM Pahang, Datuk Seri Chong Chin Fung. 

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota turut berharap lebih banyak syarikat besar China memilih Kuantan khususnya kawasan dalam Parlimen Indera Mahkota sebagai destinasi pelaburan perniagaan mereka, bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. 

“Kita berharap lebih ramai yang akan datang ke sini dan kita akan cuba membantu bagaimana hendak menambah jumlah pelaburan dari China. PUCM juga adalah satu perkembangan yang penting dalam usaha kita mahu menarik mereka ke sini. 

“Di Pahang, kita sudah mempunyai Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan mudah-mudahkan kita boleh membangunkan MCKIP ini dengan lebih giat kerana saya fikir masih banyak ruang yang boleh dimajukan di situ,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here