PETALING JAYA, 24 Julai : Seramai 227 individu ditahan oleh polis atas kesalahan ingkar perintah kawalan pegerakan (PKP) yang memasuki hari ke-129 pelaksanannya, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, daripada jumlah itu 62 individu direman dan 1 individu dijamin, manakala 164 lagi dikenakan kompaun.

Kesemua mereka terlibat dalam aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

“Task force operasi pematuhan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) diketuai polis akan mempertingkat pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pasukan petugas berkenaan turut membuat 65,434 pemeriksaan sehingga semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPP.

“Sebanyak 3,245 pasukan pematuhan yang melibatkan 13,525 anggota membuat pemantauan di 3,903 pasar raya, 6,080 restoran serta 1,475 penjaja, 1,303 kilang, 3,848 bank dan 865 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau, 1,123 terminal pengangkutan darat, 222 terminal pengangkutan air serta 134 terminal pengangkutan udara,” katanya.

Pada masa sama, menerusi 67 sekatan jalan raya Operasi Benteng, polis memeriksa 34, 972 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan berjaya menahan 10 warganegara asing atas kesalahan imigresen.

“Dari 1 Mei sehingga 23 Julai 2020, seramai 2,105 PATI, 572 tekong serta 126 penyeludup ditahan. Turut ditahan 79 bot dan 224 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here