PETALING JAYA, 28 Julai: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, individu yang pulang atau memasuki Malaysia perlu membayar anggaran RM4,700 untuk kos kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin.

Katanya, rakyat Malaysia perlu membayar maksimum RM2,100 atau 44% daripada kos itu untuk caj bilik hotel dan makan 3 kali sehari, manakala bakinya RM2,600 (55.3%) untuk kos lain akan ditanggung kerajaan.

“Ia termasuk kos pengangkutan dari pintu masuk sempadan ke stesen kuarantin, kos makan minum serta peralatan perlindungan diri (PPE) petugas kesihatan, keselamatan dan sekretariat serta kos pembersihan dan
‘decontamination’ di stesen kuarantin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 1,631 individu pulang ke tanah air dan ditempatkan di 9 stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor sejak peraturan baru itu dikuatkuasakan 24 Julai hingga semalam.

Katanya, mereka pulang dari 22 negara, iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China,
United Kingdom, Belanda dan Australia.

Beliau berkata, polis melakukan 1,776 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di rumah semalam dan polis bersama petugas Kementerian Kesihatan akan sentiasa memeriksa serta memantau individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi.

Ismail berkata, 210 individu ditahan atas kesalahan mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan, di mana 199 dikompaun, 10 direman dan seorang dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kesalahan yang dilakukan mereka ialah aktiviti pub dan kelab malam (72) serta tidak mematuhi SOP (138).

Beliau berkata, sebanyak 3,363 pasukan pematuhan dengan 14,142 anggota melakukan 66,463 pemeriksaan bagi memantau dan melaksanakan pematuhan SOP semalam.

Mereka membuat pemantauan di 4,230 pasar raya, 5,883 restoran serta 1,508 penjaja, 1,398 kilang, 3,720 bank dan 835 pejabat kerajaan.

“Juga dipantau 1,390 terminal pengangkutan darat, 379 terminal pengangkutan air serta 121 terminal pengangkutan udara.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here