PETALING JAYA, July 30: Presiden PKR Anwar Ibrahim mendesak kerajaan bersikap lebih telus dan cekap berhubung lanjutan moratorium 3 bulan yang diumumkan semalam bagi memastikan manfaat itu sampai kepada golongan sasar.

Beliau berkata, langkah yang akan memberi kelegaan kepada lebih 1 juta rakyat itu dilihat hanya penyelesaian jangka pendek bagi 1 masalah yang amat besar.

“Langkah diumumkan tidak memastikan manfaat akan diterima oleh yang bekerja sendiri dan di dalam sektor yang tidak rasmi, terutama yang miskin bandar dan yang di desa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, moratorium tambahan dan kelonggaran dalam pembayaran pinjaman adalah bergantung kepada permohonan dan kelulusan yang akan dilaksana oleh bank.

“Justeru, apa diumumkan itu tidak akan dijamin secara automatik dan bank pula akan menggunakan budi bicara mereka dalam menentukan siapa layak atau tidak layak untuk penangguhan pinjaman, ” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang lebih bertumpu, khusus bagi golongan benar-benar memerlukan, seperti individu kehilangan pekerjaan tahun ini.

Dalam pada itu, pengerusi Pakatan Harapan itu turut menggesa kerajaan segera memikirkan keputusan yang menyeluruh dalam mendepani masalah pengangguran yang semakin meruncing dan juga isu kemiskinan di negara ini.

“Kita telah menggariskan bahawa hampir 20% dari tenaga kerja di Malaysia adalah bekerja sendiri.

“Semasa PKP, kumpulan ini benar-benar terkesan dengan kehilangan sumber pendapatan dengan lebih 90% mengalami pengurangan mendadak dalam pendapatan dan sekurang-kurangnya 50% kehilangan terus pendapatan,” katanya.

Anwar berkata, beliau kecewa dan bimbang dengan pengulangan fakta yang samar berikutan kerajaan sebelum ini secara salah menggambarkan jumlah rangsangan fiskal disuntiknya ke dalam ekonomi dan bantuan langsung kepada rakyat Malaysia.

“Kita juga mengharapkan kejujuran, ketelusan dan pendekatan yang menyeluruh dan bijaksana dalam menyelesaikan masalah ini.

“Saya gesa kerajaan mewujudkan program keselamatan sosial yang mampan bagi mendukung kumpulan masyarakat yang miskin sementara ekonomi untuk pulih dan turut menyediakan lebih banyak bantuan kepada rakyat yang sedang bergelut dengan masalah kewangan ketika wabak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here