PETALING JAYA, 6 Ogos: Seorang ahli Parlimen menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak ke atas skandal melibatkan pembelian pangsapuri jutaan dolar di Australia oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada 2013.

Ia susulan pihak berkuasa Australia mendakwa seorang lelaki, Teen Boon Lye, atas tuduhan memberi rasuah kepada seorang pegawai Malaysia untuk menjamin penjualan bangunan yang dipanggil Dudley House di Melbourne.

Menurut laporan Sydney Morning Herald, Teen didakwa pada 9 Julai, kira-kira 5 tahun selepas laporan yang mendedahkan harga hartanah tersebut meningkat sebanyak A$4.75 juta untuk menyediakan sogokan kepada sekumpulan pegawai Malaysia.

Harga asal hartanah itu ialah A$17.85 juta, namun dijual pada harga A$22.6 juta, dengan A$4.75 juta dibayar atau dijanjikan kepada orang, termasuk individu yang didakwa bernama Zach Zainal dan Erwan Azizi, dengan niat untuk mempengaruhi pegawai awam Malaysia untuk menjamin jualan hartanah.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dalam kenyataan berkata tuduhan terhadap Teen itu menyorot perhatian kepada SPRM dan Putrajaya.

“Rakyat Malaysia kini memerhatikan dengan teliti sama ada SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mengambil tindakan ke atas pegawai-pegawai Malaysia yang terlibat dalam kes rasuah ini,” katanya.

Kok berkata SPRM wajar mengikut langkah pihak berkuasa Australia dan mengesan Zach dan Erwan.

“Tidak sukar bagi pihak berkuasa Malaysia untuk mengesan 2 orang tengah ini,” katanya.

Beliau berkata pada 18 Mac 2016, dilaporkan pengerusi Mara ketika itu, Annuar Musa, menyampaikan dokumen yang berkaitan kepada SPRM, dan pada tahun berikutnya, menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, Ismail Sabri Yaakob, berkata SPRM sudah hampir menyelesaikan siasatan.

“Namun, 4 tahun kemudian, SPRM tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai Malaysia yang disebut dalam transaksi hartanah di Australia itu.

“Tindakan yang diambil oleh polis Australia ke atas Teen tentu akan menimbulkan tanda tanya di sini mengenai sama ada SPRM dan AGC Malaysia akan mengambil tindakan serupa terhadap pegawai-pegawai Malaysia yang terlibat dalam kes tersebut.”

Kok berkata, kerajaan perlu “cakap serupa bikin” dalam membasmi rasuah dengan mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai Malaysia yang terlibat dalam skandal tersebut.

“Kerajaan dan rakyat akan malu jika dilihat tidak melakukan apa-apa dalam kes ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here