KUALA LUMPUR, 13 Ogos: Kerajaan memaklumkan sehingga kini tiada rakyat Malaysia yang terkesan akibat tragedi letupan di Pelabuhan Beirut, Lubnan minggu lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof berkata demikian berdasarkan maklumat terkini yang diterima pihak kerajaan.

“Maklumat terkini kita terima belum ada mangsa dari negara kita terlibat,” katanya di Dewan Rakyat hari.

Beliau menjawab pertayaan Kelvin Yii Lee Wuen (PH- Bandar Kuching) yang meminta penjelasan kerajaan sama ada rakyat Malaysia terlibat dalam tragedi tersebut dan meminta kerajaan menyatakan mengenai sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk memberi bantuan kepada Lubnan selepas letupan bom di Beirut yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 78 mati dan 4,000 cedera.

Redzuan turut berkata, kerajaan menyalurkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM1 juta bagi membantu rakyat Lubnan yang terjejas akibat tragedi letupan itu.

Katanya, bantuan akan disalurkan menerusi Pertubuhan Palang Merah Lubnan (LRC).

Mengulas soal ketelusan serta bantuan tersebut dibimbangi tidak sampai kepada rakyat Lubnan yang terjejas, Redzuan berkata, kerajaan akan memantau bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan yang disasar.

“Kita amat peka kepada isu yang berlaku di Lubnan. Kita ada pengalaman dalam memberi bantuan, tapi hari ini Kementerian Luar Negeri berurusan terus dengan LRC, jadi kita akan dapat maklum balas ia betul-betul sampai atau tidak,” katanya.

Tragedi letupan di Lubnan dipercayai berpunca daripada kebakaran di sebuah gudang di Pelabuhan Beirut yang dikatakan menyimpan bahan letupan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here