KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Sekumpulan 104 individu yang pulang dari luar negara dan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam ekoran pesawat berkenaan tiada dalam senarai jadual asal, telah ditempatkan di stesen kuarantin.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penghantaran individu-individu terbabit ke stesen kuarantin tergendala seketika kerana menunggu persiapan hotel untuk menerima bilangan individu yang besar. 

“Semalam, terdapat sekumpulan individu yang terkandas di KLIA kerana tidak dihantar ke stesen kuarantin dalam durasi masa yang ditetapkan dan setelah diteliti, daripada 13 penerbangan yang mendarat di KLIA, terdapat satu pesawat yang tiada dalam jadual asal telah mendarat dan membawa 104 penumpang.

Pihak urus setia mengambil tindakan segera untuk menghantar mereka yang terjejas dalam kumpulan kecil ke hotel-hotel lain yang sedia ada serta memastikan makanan ringan dan minuman disediakan sepanjang proses tersebut,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan PKPP di sini, hari ini. 

Beliau berkata kumpulan terakhir ditempatkan di stesen kuarantin pada pukul 10 malam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here