GEORGE TOWN, 17 Ogos — Kerajaan Negeri Pulau Pinang menzahirkan rasa kesal kerana pihaknya langsung tidak dimaklumkan berhubung ketibaan pesakit dari Indonesia secara ‘tiba-tiba’ ke negeri ini, Jumaat lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan berkata beliau telah mempengerusikan satu mesyuarat tergempar hari ini berhubung isu kemasukan tiga pesakit warganegara Indonesia berkenaan bagi mendapatkan rawatan lanjut di hospital swasta negeri Pulau Pinang.

Beliau berkata perbincangan utama dalam mesyuarat itu adalah bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan perkara berkenaan, di samping turut menyentuh isu prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di peringkat Pusat sebelum ini berhubung kemasukan pesakit di bawah sektor Kategori Pelancongan Kesihatan ke negara ini, khususnya ke Pulau Pinang.

“Kerajaan negeri telah diberi penjelasan lanjut berhubung ketibaan dua pesakit kanser dan seorang  pesakit yang memerlukan rawatan pada kadar segera dari Indonesia ke Pulau Pinang pada 14 Ogos 2020 menerusi pesawat khas sebagaimana ditetapkan dalam SOP agensi Pusat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu Chow berkata kerajaan negeri Pulau Pinang terus kekal dengan pendiriannya untuk tidak membenarkan atau menerima pesakit di bawah sektor pelancongan kesihatan pada tempoh ini yang mahu mendapatkan rawatan di Pulau Pinang.

Chow berkata kerajaan negeri juga menzahirkan rasa sangat kesal kerana  pihaknya langsung tidak dimaklumkan berhubung ketibaan pesakit-pesakit berkenaan secara ‘tiba-tiba’ ke negeri ini. 

Menurutnya kerajaan negeri mengambil maklum bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan merumuskan SOP sektor Kategori Pelancongan Kesihatan nanti.

Beliau berkata kerajaan negeri kini tetap dengan pendirian untuk tidak membenarkan kemasukan pesakit di bawah kategori berkenaan setakat ini, sehingga pihak KKM memuktamadkan SOP baharu terutamanya pada tempoh masa ini, semasa Pulau Pinang masih melaporkan kemunculan kes-kes aktif COVID-19.

“Setiausaha kerajaan negeri telah diarahkan untuk mengadakan mesyuarat teknikal membabitkan pelbagai agensi pada petang ini untuk menguruskan isu terbabit dengan lebih lanjut bagi menjamin keselamatan rakyat Pulau Pinang secara menyeluruh.

“Kerajaan Negeri turut menegaskan bahawa semua agensi berkaitan dengan sektor Kategori Pelancongan Kesihatan adalah diwajibkan untuk memberi segala makluman serta maklumat kepada kerajaan negeri supaya kita dapat bersama-sama menguruskan isu ini dengan lebih berkesan,” katanya.

Sementara itu pertubuhan Citizen’s Awareness Chant Group (CHANT) hari ini menggesa supaya kerajaan persekutuan berhenti daripada membenarkan pesakit warga asing untuk mendapatkan rawatan dalam negara selaras dengan situasi pandemik COVID-19 yang dihadapi dunia sehingga kini.

Penasihat pertubuhan itu Yan Lee berkata ketika ini negara masih mencatatkan kes-kes COVID-19 baharu setiap hari dan pesakit khususnya dari negara dalam zon merah tidak seharusnya dibenarkan memasuki negara.

“Kami menggesa pihak berkuasa untuk menghentikan pelancongan kesihatan ini, kerana kami difahamkan kumpulan kedua pelancongan kesihatan dari Indonesia dijangka tiba pada 24 Ogos ini, dari Jakarta, Indonesia, ke Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 14 Ogos lepas syarikat penerbangan AirAsia mengumumkan ketibaan penerbangan sewa khas perubatan dari Medan, Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, dan ia dilaporkan membawa tida pesakit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here