PETALING JAYA, 21 Ogos: Polis menahan 86 individu atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 77 individu dikompaun manakala 8 direman.

Beliau berkata, dalam Operasi Benteng pula polis menahan 2 individu warga asing atas kesalahan imigresen.

“Semalam polis mengadakan 63 sekatan jalan raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 32,279 kenderaan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama di lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata menerusi 327 pemeriksaan terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing, polis mendapati semua mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here