PETALING JAYA, 24 Ogos: Beberapa pemain utama dalam industri pelancongan meramalkan cuti sekolah akhir tahun yang lebih pendek pada 2020 dan 2021 mungkin tidak akan menjejaskan pemulihan industri itu hingga tahun baru.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Mohamad Halim Merican berkata, masih ada banyak cuti, perayaan dan hujung minggu panjang untuk rakyat melancong dalam negara, yang boleh membantu industri itu terus bertahan.

Katanya, pemulihan industri itu melepasi jangkaan setakat ini, dengan purata kadar penginapan hotel ialah 33%, iaitu 8% lebih tinggi daripada kadar ramalan untuk sepanjang tahun.

“Disebabkan ia kini berada pada 33%, kami menjangkakan ia mencecah sekurang-kurangnya 40% pada akhir tahun. Tidak akan ada pemulihan penuh tahun depan, tetapi kami berharap di pertengahan-50% dari segi penginapan. Namun, ini tertakluk kepada sama ada kami akan menghadapi lebih banyak isu seperti sekatan ketat atau pergerakan.”

Nigel Wong, setiausaha agung Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, berkata cuti sekolah lebih pendek mungkin menjejaskan cara rakyat menentukan bila dan destinasi pelancongan mereka.

Katanya, industri itu menjangkakan kemasukan lebih ramai pelancong untuk jangka lebih pendek. Hotel, agensi dan pengusaha pelancongan bersiap sedia untuk menerima ketibaan mereka.

“Rakyat akan mula melancong dalam tempoh lebih pendek berbanding cuti panjang yang biasa mereka ambil pada tahun-tahun sebelumnya.

“Satu lagi perbezaan besar kita lihat ialah rakyat mungkin memilih untuk bercuti dekat dengan rumah. Berbanding penerbangan jarak jauh, mereka mungkin mahu memandu ke tempat yang boleh dijangkau.”

Menjelang pameran tahunan Matta akan datang, Wong memberitahu FMT, sukar meramalkan jualan kerana mereka hanya boleh memfokuskan pelancongan dalam negara akibat penutupan sempadan antarabangsa.

Katanya, jualan domestik setiap pameran Matta pada tahun-tahun sebelumnya biasanya melebihi RM30 hingga 40 juta. Bagaimanapun, rakyat mungkin merancang dan membeli pakej antarabangsa dengan harapan sempadan mungkin dibuka tahun depan.

Sim Choo Kheng, pengasas dan ketua pegawai eksekutif Sim Leisure Group serta pemain utama dalam industri taman tema, menjangkakan sempadan antarabangsa dibuka seawal November.

Beliau berkata, industri pelancongan perlu memfokuskan persiapan menerima pelancong antarabangsa kerana ia dipenuhi pelancong tempatan apabila pergerakan merentas negeri dibenarkan.

“Covid-19 tentunya membuatkan semua orang terkejut dan benar-benar menjejaskan industri pelancongan. Jadi, fokus kini pada pelancongan domestik, tetapi kita perlu merancang untuk pelancong asing supaya kita boleh memasarkan diri dengan baik sebagai destinasi pelancongan dikehendaki.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here