KUALA LUMPUR, 24 Ogos: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata, kementeriannya sedang mencari cara “kreatif” untuk membuka sektor pelancongan kepada lebih ramai orang, termasuk pelancong antarabangsa.

Beliau berkata, kementeriannya akan meneroka prosedur pembukaan destinasi zon hijau berpotensi dengan kementerian berkaitan.

Walaupun skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dengan negara seperti Singapura membantu, katanya, kerajaan turut melihat kemungkinan membuka sektor pelancongan “khusus” seperti golf, menyelam dan eko-pelancongan dengan SOP tertentu untuk memastikan pelancongan selamat dan terkawal.

Nancy berkata, kementeriannya ditugaskan untuk mengembangkan kertas konsep dengan kerjasama kementerian berkaitan.

“Kita memerlukan cara baru untuk melihat gelembung perjalanan, yang bukan saja berdasarkan negara, tetapi mungkin destinasi seperti (antara) pulau (negara lain),” katanya selepas pelancaran “Malaysia Business Events Week 2020”.

Beliau berkata, ia tertakluk kepada perbincangan lanjut bersama kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara.

Katanya, kesepakatan antara negara mengenai SOP juga perlu dicapai.

Terdahulu, ketika berucap dalam acara anjuran Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB), Nancy berkata, walaupun perjalanan antarabangsa terjejas akibat Covid-19, prospek industri acara perniagaan di Malaysia masih “positif”.

“Banyak acara yang akan berlangsung di Malaysia ditunda dan bukannya dibatalkan.

“Jumlah acara yang diperolehi dan disokong MyCEB kelihatan baik dengan hanya 24 daripadanya dibatalkan dan 64 ditangguhkan.”

Beliau memuji MyCEB atas usahanya untuk membangunkan kembali industri itu, terutama melalui inisiatif seperti kempen “Meet in Malaysia”, Pakej Peningkatan Pameran, “Fifth Tactical Malaysia Twin Deal” dan “Homegrown Event Support”.

“Oleh itu, saya menggesa semua pemain industri memanfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk memulakan semula perniagaan mereka.”

Ketua Eksekutif MyCEB, Abdul Khani Daud berharap syarikat tempatan akan menyokong industri acara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here