KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Malayan Banking Bhd (Maybank) menjangkakan pertumbuhan pinjaman bagi separuh kedua tahun kewangan 2020 kekal lembap, yang mana, mencerminkan prestasi separuh pertama tahun ini. 

Operasi Malaysia kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan pinjaman yang stabil sebanyak 4.4 peratus berbanding dengan 4.1 peratus pinjaman industri pada 30 Jun 2020 tetapi telah diimbangi dengan penguncupan sebanyak 8.4 peratus di pasaran luar negara. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Abdul Farid Alias berkata pertumbuhan pinjaman pengguna dijangka akan terus konsisten walaupun terjejas sedikit sebelum pandemik COVID-19 bermula, tetapi dalam sektor bukan runcit, pertumbuhan agak lemah berikutan kelembapan dalam kitaran pelaburan perdagangan global.

Maybank menjangkakan tahun kewangan 2020 akan terus mencabar akibat gangguan politik luaran dan dalaman, perang perdagangan Amerika Syarikat-China serta ketidaktentuan wabak COVID-19. 

Ekonomi dijangka akan mengecut, yang mana, ini mencerminkan kesan pandemik dan perintah kawalan pergerakan (PKP) termasuk harga minyak mentah yang lebih rendah, katanya. 

PKP mungkin akan menjejaskan sentimen dan permintaan pengguna, dengan itu memberi kesan kepada pertumbuhan pinjaman, manakala mampatan margin faedah bersih (NIM) juga akan terus naik sehingga lima mata asas pada tahun ini di tengah-tengah pengurangan kadar dasar semalaman, katanya.

“Dalam keadaan yang tidak menentu ini, fokus utama kami adalah untuk mengekalkan kekuatan bank, tetapi pada masa yang sama, kami mempunyai kewajipan moral bagi membantu pelanggan.

“Kami berada di tengah-tengah krisis sekarang dan bank perlu memainkan peranan untuk membantu orang ramai serta perniagaan untuk terus hidup, membantu perusahaan membuka peluang pekerjaan dan itulah fokus kami dalam langkah kami ke hadapan,” katanya kepada media pada taklimat keputusan suku kedua di sini semalam. 

Turut hadir adalah Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin dan Ketua Pegawai Kewangan Datuk Amirul Feisal Wan Zahir. 

Bagaimanapun, beliau percaya ekonomi global akan pulih pada separuh tahun kedua selepas ekonomi dunia telah menyaksikan pertumbuhan yang paling teruk dalam suku kedua, yang mencerminkan impak PKP sehingga menyebabkan penyusutan dalam aktiviti ekonomi.

“Berdasarkan kepada Indeks Pengurus Pembelian (PMI) secara global untuk Jun dan Julai, kami telah melihat angka pengembangan di atas 50 peratus untuk banyak ekonomi, tetapi sekali lagi, pemulihan akan bergantung kepada keupayaan untuk menangani pandemik,” katanya.

Beliau ketika bercakap mengenai moratorium yang akan berakhir menjelang 30 Sept depan berkata sebilangan pelanggan telah menghubungi Maybank untuk program bantuan lanjutan tetapi jumlahnya masih kecil. 

“Mungkin mulai sekarang sehingga akhir September atau dalam Oktober, lebih ramai pelanggan akan menghubungi kami. Amat penting untuk pelanggan bertemu dan berbincang dengan kami bagi melaksanakan sesuatu pelan untuk mereka.

Bagi pelanggan yang telah menganggur disebabkan COVID-19, Maybank boleh memberikan moratorium yang sama sehingga akhir tahun ini manakala yang mereka telah terjejas pendapatan, pinjaman mereka boleh dijadualkan balik berdasarkan kemampuan pembayaran mereka, kata beliau.

Menurut Abdul Farid lagi, bank akan melihat secara lebih terperinci dalam kes-kes yang mebabitkan syarikat dan industri.

Beliau menambah bank itu secara proaktif telah menghubungi pelanggan untuk mengingatkan mereka mengenai tarikh tamat moratorium dan menawarkan opsyen pakej bantuan pembayaran balik bagi mengurangkan beban kewangan mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here